Ganti arwah ibu jaga bapa saudara lumpuh

Iklan
Ahmad Azimi (tengah) dan Zulkifli (kiri) dikujungi saudaranya, Hazimah Kotok, 66, di rumah mereka di Tanah Merah.

TANAH MERAH - Selepas kematian ibu, seorang yatim piatu menggalas tanggungjawab menjaga bapa saudara yang lumpuh akibat penyakit radang sendi di Kampung Kelisar di sini.

Ahmad Azimi Mohamad, 19, menjaga Zulkifli Mohamed, 53, juga orang kurang upaya (OKU) yang hanya mampu mengesot akibat penyakit dihadapinya sejak lima tahun lalu.

Iklan
Iklan

Ahmad Azimi berkata, ibunya, Zaiton Mohamed, 48, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru tiga bulan lepas, manakala bapanya, Mohamad Awang, 50, menghadap Ilahi kerana penyakit saraf enam tahun lalu.

Ahmad Azimi ialah anak kedua daripada empat beradik, manakala kakak berusia 20 tahun dan dua adiknya berusia 15 serta 12 tahun kini tinggal bersama ibu angkat di Batu Gajah.

Iklan

"Sebelum ini, keperluan bapa saudara disediakan oleh ibu dan kini giliran saya menyediakan semua terutama makanannya.

"Setiap hari saya akan membeli tiga nasi bungkus untuk pagi, tengah hari dan malam,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kelisar di sini pada Isnin.

Iklan
Zulkifli hanya dapat duduk di kerusi manakala mengesot untuk bergerak.

Menurut Ahmad Azimi, jika tidak cukup wang, dia akan memasak nasi bersama telur goreng dan dimakan dengan budu bersama-sama bapa saudaranya itu.

"Kami hanya tinggal berdua di rumah pusaka arwah nenek ini.

"Saya tidak bekerja dan hanya mendapat upah hasil getah sekitar RM210 setiap dua minggu,” katanya.

Zulkifli menerima bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat namun kini dimaklum akan ditangguhkan sementara kerana proses pertukaran nama penjaga iaitu Zaiton yang meninggal dunia.

"Setakat ini, saya tak dapat keluar bekerja.

"Kalau saya bekerja, tinggalkan rumah pada waktu siang, tiada siapa dapat menjaga bapa saudara kami ini,” katanya.

Bagi yang ingin membantu, boleh salurkan ke akaun kakak Ahmad Azimi, Nur Fatihah Muhammad Bank Simpanan Nasional (BSN) 0399541100693597.