Abdul Hadi terkejut dengan tindakan keterlaluan terhadap pegawai JAIM

Iklan
Abdul Hadi. Laporan Sinar Harian.

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akui terkejut dengan tindakan keterlaluan yang dikenakan terhadap pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang terlibat.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut menerusi hantaran di aplikasi X bagi membalas komen sebuah portal berita tempatan mengenai empat pegawai JAIM dikenakan tindakan tatatertib termasuk memecat dan menukar jawatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia disebabkan kecuaian mereka memasukkan gambar pemimpin politik dalam paparan video khutbah Jumaat di Melaka minggu lalu.

"Saya amat bersimpati dan terkejut dengan tindakan yang amat keterlaluan dikenakan ke atas pegawai JAIM yang terlibat,” katanya pada Isnin.

Iklan
Tangkap layar kenyataan Abdul Hadi di aplikasi X pada Isnin.

Pada Jumaat lalu, khutbah di seluruh masjid dan surau Jumaat di negeri tersebut disediakan oleh Bahagian Pengurusan Masjid dan JAIM bertajuk ‘Negaraku, Tanah Air Ku’ bersempena sambutan Hari Malaysia 16 September didakwa telah memaparkan gambar seorang pemimpin parti politik pembangkang.

Wajah pemimpin pembangkang berkenaan diletakkan bersebelahan dengan sepotong ayat berbunyi ‘Keamanan dan kemajuan negara hendaklah dipertahankan dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni, rakyat yang berdisiplin dan berbudi mulia'.

Iklan

Dalam paparan berasingan, turut terdapat wajah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa digantikan dengan gambar Sultan Ibrahim selaku Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Susulan itu, JAIM dalam satu kenyataan membuat permohonan maaf atas kekhilafan berkenaan dan menjelaskan terdapat ralat dalam info grafik yang disediakan pihaknya.

Jabatan itu turut menarik balik info grafik terbabit dengan serta-merta dan mengarahkan semua pengerusi masjid dan surau Jumaat untuk menurunkan, memadam dan tidak menyebarkan paparan berkenaan atau sebarang dokumen berkaitannya untuk apa-apa tujuan.