PRK Mahkota: SPR sasar lebih 70 peratus keluar mengundi Sabtu ini

Iklan
SPR sasar lebih 70 peratus pengundi PRK Mahkota menunaikan tanggungjawab pada Sabtu ini. Foto Bernama

KLUANG - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan sekurang-kurangnya 70 peratus pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menunaikan tanggungjawab dengan mengundi pada Sabtu ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jumlah tersebut berdasarkan trend peratus keluar mengundi di PRK Nenggiri yang merekodkan lebih 70 peratus.

Iklan
Iklan

"Kita tengok di (DUN) Neggiri lebih 70 peratus (keluar mengundi) jadi kota harap lebih 70 peratus (keluar mengundi di PRK Mahkota)

"Tapi sebagaimana kita sedia maklum, setiap PRK ini memang kadar mengundi agak tinggi, jadi kita harap kadar (keluar mengundi) tinggi kali ini.

Iklan

"Kita sasarkan seramai mungkin keluar mengundi," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses undi awal di Pusat Mengundi Dewan Mahkota, Kem Tentera Mahkota di sini pada Selasa.

Proses pengundian awal PRK Mahkota membabitkan 4,510 tentera dan pasangan serta 401 polis.

Iklan

Sebanyak tiga pusat mengundi dibuka iaitu di Dewan Mahkota yang terletak dalam Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang dan Sekolah Kebangsaan Sultan Sir Ibrahim.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Ia menyaksikan pertembungan satu lawan satu iaitu calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.