'Perluas Seminar Fikrah Madani, cetus gelombang ilmiah dalam masyarakat'

Iklan
Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar mencadangkan agar program Seminar Fikrah Madani diperluas ke peringkat zon dan negeri bagi memacu gelombang ilmiah dalam masyarakat.

Beliau berkata, impak seminar itu dilihat mampu mencetuskan gelombang kecerdasan intelektual yang kukuh berpandukan fikrah Madani yang diiktiraf dan berwibawa.

Iklan
Iklan

Mohd Na'im berkata, program itu penting untuk menangani pola pemikiran ekstrem dalam kalangan segelintir pihak yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sering bangkitkan persoalan kedangkalan ilmu dan ketumpulan fikrah yang menyebabkan masyarakat mudah dipesongkan dan dikelirukan oleh fahaman, ideologi serta doktrin yang tergelincir daripada dasar keyakinan, rasional dan pendekatan sederhana (wasatiyyah) seperti dianjurkan Islam.

Iklan

"Justeru itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berharap Seminar Fikrah Madani ini akan menjadi satu jenama aktiviti pembangunan akliah umat Islam yang mendapat sambutan masyarakat terutama dari kalangan masyarakat Islam dalam tempoh terdekat,” katanya dalam ucapan perasmian seminar itu, di sini hari ini.

Teks ucapan Mohd Na'im dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Dr Muhamad Razak Idris dalam majlis yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan.

Iklan

Seminar Fikrah Madani bertemakan ‘Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi - Penghayatan Manhaj Islah dan Tajdid Dalam Pemerkasaan Umat’, menjadi platform perbincangan pemikiran intelektual serta sumbangan besar ilmuan tersohor itu.

Allahyarham Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi yang meninggal dunia pada 26 Sept 2022, merupakan seorang sarjana Islam yang berpengaruh, syumul, intelektual, aktivis sosial, penulis prolifik dan aktivis Islam yang menjadi rujukan kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia malah terkenal dengan pandangan kesederhanaan, selain dianggap sebagai sarjana Islam yang kontemporari.

Mohd Na’im berkata, manhaj (pembaharuan) Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi dalam memperkasakan umat Islam amat penting dihayati oleh umat Islam terutama pendakwah dan pendidik masyarakat.

"Manhaj Sheikh Al-Qaradhawi dalam pengislahan dan pembaharuan umat diperakui para ulama dan ilmuwan kerana ia mengandungi huraian tasawwur Islam yang jelas dan sepadu.

"Pendekatan beliau yang sederhana (wasatiyyah) dalam kefahaman dan tindakan serta memiliki gabung jalin yang harmoni antara warisan keilmuan masa lalu dan masa kini, amat relevan dalam menangani cabaran serta keperluan ummah hari ini,” katanya. - Bernama