Sultan Nazrin rasmi Menara SSM Perak

Iklan
Sultan Nazrin (tengah) berkenan bergambar bersama tetamu jemputan serta warga SSM selepas menyempurnakan perasmian Menara SSM Perak di Ipoh pada Selasa.

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak di sini pada Selasa.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Iklan
Iklan

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isterinya, Datin Seri Aezer Zubin serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Iklan

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti bacaan al-Quran sebelum baginda menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak.

Terdahulu Armizan dalam sembah ucapannya berkata, mengimbau sejarah, Perak dan SSM mempunyai sejarah silam yang signifikan dalam perkembangan sektor korporat serta pertumbuhan ekonomi negeri.

Iklan

Katanya, ini kerana syarikat pertama yang telah didaftarkan oleh Pejabat Pendaftar Syarikat atau ROC yang kini dikenali sebagai SSM merupakan syarikat dari Perak iaitu Kuala Kangsar Plantations Company Limited pada tahun 1898.

Menurutnya, sejak itu Perak terus berkembang pesat sebagai antara lokasi utama untuk menjalankan perniagaan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor korporat negara.

Jelasnya, Pejabat Pendaftar Syarikat di Perak mula beroperasi 32 tahun lalu iaitu pada tahun 1992 di Bangunan Seri Kinta sebelum berpindah ke Kompleks Islam Darul Ridzuan dan dikenali sebagai Pejabat Pendaftar Perniagaan.

Beliau berkata, pada tahun 2000, pejabat berkenaan berpindah pula ke Bangunan Persekutuan Ipoh, sebelum berpindah lagi ke Angsana Mall pada tahun 2004.

"Tahun 2021 menandakan detik permulaan bersejarah bagi SSM Negeri Perak, kerana tidak perlu lagi menyewa bangunan lain bagi menawarkan perkhidmatan terbaik kepada komuniti niaga di negeri ini.

"Pada tahun inilah, SSM Negeri Perak berjaya berpindah ke bangunan miliknya sendiri iaitu Menara SSM Perak yang megah berdiri di Jalan Basco Kepayang, Ipoh," katanya.

Armizan berkata, SSM kini memiliki bangunan-bangunan sendiri di pelbagai lokasi strategik, termasuk ibu pejabat di Kuala Lumpur iaitu Menara SSM@Sentral, serta di Melaka, Miri, Sarawak dan kini di Perak.

Jelas beliau, Menara SSM Perak itu mencerminkan usaha berterusan SSM dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan kepada pelanggan, menjadikannya sebagai pusat utama untuk keperluan entiti-entiti perniagaan di negeri ini.

Menurutnya, Menara SSM Perak serba moden setinggi 10 tingkat itu dilengkapi pelbagai prasarana serta infrastruktur seperti parkir, kedai serbaneka, kafe dan surau, di samping mempunyai kawalan keselamatan 24 jam.

Katanya, SSM turut menjana pendapatan dengan menyewakan tingkat-tingkat lain di menara tersebut.

Sementara itu, Armizan berkata, mengikut statistik SSM, sebanyak 61,692 syarikat telah diperbadankan dan 795,350 perniagaan serta 1,073 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) dari Perak telah didaftarkan dengan SSM sehingga 31 Ogos 2024.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 26,127 syarikat, 150,397 perniagaan dan 972 PLT adalah aktif.