KUALA TERENGGANU - Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui Perikatan Nasional (PN) berdepan cabaran besar dalam memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menjelaskan, walaupun sebelum ini keputusan majoriti menang agak besar diperoleh bagi penyandang kerusi DUN Mahkota, namun pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk memenangi kerusi DUN tersebut.
"Kita terima cabaran yang tinggi untuk menang di kerusi berkenaan tetapi kita cuba.
"Saya tak nak sebut 'underdog' sebab macam saya kata cabarannya besar, jadi kita cubalah.
"Atas kertas majoriti yang diterima oleh pemenang sebelum ini agak besar dan kita sedar tentang situasi itu dan cabarannya.
"Tidak mudah untuk capai kemenangan tetapi tiada yang mustahil," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Yayasan Islam Terengganu di Dewan Al-Fateh, Menara Yayasan Islam, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, jentera Pas yang diturunkan bagi membantu kempen berfungsi dengan baik setakat ini.
"Ramai bantu turun...kita fokus pada pusat daerah mengundi (PDM) dan ada satu PDM yang ditugaskan melibatkan lebih 6,000 pengundi," ujarnya.
PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Ia menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.
Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional dan Warisan.