'Mahu cukur rambut anak, tapi saya pula dibotakkan' - Da'i Syed

Iklan
Syed Shah Iqmal (kanan) dan Hana hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa bagi prosiding sebutan kes rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi kes merogol seorang wanita, lima tahun lalu.

KUALA LUMPUR -"Sepatutnya, saya cukur rambut anak perempuan pada tiga minggu lalu, namun perancangan ALLAH, saya pula yang dibotakkan."

Demikian kata Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa.

Iklan
Iklan

Pendakwah selebriti yang berusia 29 tahun itu berkata, sebelum Mahkamah Sesyen di sini menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan pada 30 Ogos lalu, dia hanya sempat meluangkan masa bersama bayi sulungnya, selama 16 hari.

Paling menyentuh hati katanya, mereka sempat meluangkan masa dengan membacakan buku cerita pada waktu malam sehari sebelum dimasukkan ke Penjara Kajang.

Iklan

"Dapat bertemu semula dengan anak, perasaan itu bagaikan tiada kata yang dapat digambarkan.

"Selepas dibebaskan sementara, mungkin nampak agak susut berat badan, tapi saya makan cukup (di penjara),” katanya yang hadir ke mahkamah bersama isteri, Hana Ismail.

Iklan

Buat masa ini selebriti itu berkata, keadaan mental dan emosinya agak terganggu namun dia dan isteri akan berusaha untuk menaikkan semula pendapatan sama ada menerusi perniagaan atau cara lain.

Sementara itu, Hana, 38, berkata, dia mengucapkan syukur kerana tidak semua mengecamnya, di atas kesalahan yang disabitkan ke atas suami.

"Ramai orang yang baik di luar sana dan sangat prihatin dengan keadaan yang menimpa kami.

"Pada yang mengecam, mungkin pada mereka kami tak layak, tetapi ada juga yang ihsannya tinggi dan akhlak baik pada kami, syukur Alhamdulillah,” katanya.

Pada 30 Ogos lalu, Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen di sini menjatuhinya hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita pada lima tahun lalu.

Mahkamah memerintahkan bapa kepada seorang anak itu dihukum serta-merta selepas didapati dia bersalah susulan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, selepas 21 hari meringkuk di Penjara Kajang, Syed Shah Iqmal dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 20 September.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019 lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.