MAIDAM sedia bantu anak pengikut GISBH

Iklan
Shaikh Harun (tengah) ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Yayasan Islam Terengganu, pada Selasa.

KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sedia memberi bantuan termasuk aspek pendidikan dan kemahiran sekiranya perlu kepada anak-anak pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, anak-anak tersebut akan diberi bantuan selayaknya jika memenuhi kriteria yang ditetapkan MAIDAM untuk membantu mereka memulakan hidup baharu.

Iklan
Iklan

"Kalau anak-anak yang istimewa dan berkeperluan khas itu biasanya dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Apa yang penting ialah mereka perlu insaf dahulu dan kemudiannya kita pertimbangkan bantuan (pendidikan, kemahiran, perniagaan) supaya mereka boleh berdikari semula," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Yayasan Islam Terengganu di Dewan Al-Fateh, Menara Yayasan Islam, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, hasil pemantauan yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia mendapati tiada anak-anak pengikut GISBH yang terabai kini berada di Terengganu.

Iklan

"Semua premis yang dikaitkan dengan GISBH di Terengganu kini telah dikosongkan.

"Hasil serbuan pihak berkuasa tidak menemui mana-mana individu di premis tersebut," jelasnya.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan terdapat ahli GISBH yang mempunyai 34 anak.

Beliau berkata, siasatan mendapati ahli tersebut mengamalkan poligami dengan beristeri empat dan mempunyai 34 anak.

Dalam pada itu, Razarudin mendedahkan ahli dan kanak-kanak di bawah seliaan kumpulan GISBH sudah didoktrin untuk menipu.

Razarudin berkata, ahli GISBH dilatih atau didoktrin untuk tidak bercakap benar mengenai anak hasil perkahwinan mereka.