KOTA BHARU - Seorang peniaga kedai makan merayu orang ramai mengembalikan buku 555 yang hilang bersama dompetnya walaupun hanya dengan meletakkan buku itu di hadapan rumah.
Nurliyana Atikah Mohd Paridu, 25, berkata, buku kecil berwarna merah mencatatkan jumlah hutang yang dipinjam oleh seorang individu beberapa tahun lalu itu hilang berikutan dompetnya tercicir dalam kejadian kira-kira jam 11 malam Ahad.
Bagaimanapun menurut peniaga muda itu, dia turut terhutang budi jika buku itu dikembalikan bersama dompetnya.
"Saya tidak kisah dengan wang kira-kira RM400 dalam dompet itu tetapi paling penting ialah buku 555 kerana ia menjadi bukti pembayaran hutang.
"Kasihanilah saya, kalau ada yang mengambil atau menemui buku itu boleh terus menghantarnya di Warung Berangin di sini dan saya tidak akan mengambil sebarang tindakan.
Menurutnya, dompet itu mempunyai nilai sentimental yang sukar diungkap kerana moyangnya sudah meninggal dunia dua tahun lalu pada usia 90 tahun.
Menceritakan kehilangan dompet kesayangannya itu, Nurliyana Atikah memberitahu, pada malam kejadian, dia dan ibunya keluar dari rumah mereka di Kampung Kepulau untuk mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Pasir Pekan, Tumpat.
Tambahnya, sebaik pulang dia menyedari dompet itu hilang dan terus keluar semula mencarinya dengan menunggang motosikal.
Jelas Nurliyana Atikah, dia tidak menemui dompet itu dan mengambil keputusan berkongsi kehilangan barang kesayangan berkenaan di media sosial dengan harapan ada individu yang membantu.
"Sehingga kini saya hanya berdoa dan mampu menangis memikirkan buku 555 itu selain penuh harapan ada yang mengembalikannya di hadapan rumah atau kedai saya," katanya.