IPOH - Pendaftaran perniagaan syarikat berkaitan GIBSH Holding Sdn Bhd (GISBH) akan dibatalkan jika dikesan melanggar peraturan ditetapkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembatalan tersebut boleh dibuat sekiranya syarikat disabitkan kesalahan atas aktiviti yang melanggar kepentingan awam dan peraturan-peraturan semasa.
Menurutnya, KPDN menerusi SSM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti polis bagi membantu siasatan yang sedang dibuat terhadap GISBH.
"Siasatan berhubung GISBH di peringkat KPDN adalah terkait dengan akta di bawah kawal selia SSM iaitu Akta SSM dan kita sedang menyemak semua pendaftaran syarikat induk dan anak-anak syarikat termasuklah pematuhan mereka terhadap penghantaran laporan tahunan, kewangan dan sebagainya.
"Kita bekerjasama rapat dengan PDRM untuk melengkapkan siasatan, membantu PDRM apa-apa perkara yang terkait dengan akta di bawah bidang kuasa SSM," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Perasmian Menara SSM Perak di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Armizan berkata, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkaitan promosi produk-produk syarikat GISBH.
Menurutnya, perkara tersebut akan dikendalikan bahagian penguat kuasa KPDN.
"Kita akan ambil tindakan segeralah khususnya yang berkaitan dengan promosi semasa yang ada. Kita akan ambil dalam masa terdekat apa keputusan bersama yang kita buat," katanya.
Pada 20 September lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, SKMM tidak menerima sebarang aduan berhubung produk perniagaan GISBH yang dipasarkan di platform media sosial.
Katanya, bagaimanapun KPDN mempunyai kuasa menurunkan sebarang kandungan atau isu berkaitan hak cipta dan kepenggunaan jika ada keperluan berbuat demikian dan SKMM melalui Seksyen 263 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh meminta agar kandungan diturunkan.