KUALA TERENGGANU - Warga emas kelahiran Perancis, Christine Rohani Longuet mengakui anak dan cucunya yang terperangkap dalam gerakan Al-Arqam suatu ketika dahulu masih dihantui pengalaman pahit dan trauma dengan apa yang berlaku.
Wanita berusia 81 tahun itu berkata, pendedahan oleh cucunya yang juga pempengaruh Tik Tok, Sabrina Bolivar mengenai peristiwa itu baru-baru ini adalah kisah benar berdasarkan pengalaman hidup yang dilaluinya sendiri.
Menurutnya, dia pernah menyelamatkan anak dan cucunya itu daripada terus terperangkap dalam gerakan tersebut yang juga dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
"Apa yang saya boleh katakan ialah ketika itu berlaku satu bentuk pengabaian yang serius terhadap wanita dan kanak-kanak dalam gerakan tersebut.
"Jadi, saya berharap sangat agar apa yang dialami oleh anak dan cucu saya satu ketika dahulu dapat dihentikan segera dan pelakunya diberi hukuman setimpal," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini pada Isnin.
Menurut Rohani, dia juga meminta agar lebih ramai individu dapat tampil bagi menceritakan pengalaman mereka bersama GISBH seperti mana yang dilakukan cucunya itu.
"Saya percaya dia (Sabrina) hanya mahu meluahkan kesedihan dan menghentikan simpati orang ramai terhadap GISBH dengan apa yang berlaku ketika ini.
"Sabrina seorang yang berani apabila bertindak menceritakan pengalaman yang dilaluinya itu. Apa yang berlaku sekitar tahun 1980-an itu amat menyedihkan," katanya.
Bercerita lanjut, Rohani berkata, dia menyelamatkan anak dan cucunya dari sebuah rumah di Sungai Penchala, Selangor sekitar tahun 1980-an.
"Ketika itu saya melihat ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem kekeluargaan yang diamalkan gerakan tersebut selepas anak memilih untuk berkahwin dengan salah seorang ahlinya.
"Trauma besar yang dialami oleh anak dan cucu saya melibatkan pengabaian dan kebajikan mereka tidak dijaga ketika berada dalam kelompok tersebut.
"Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa berusaha mendapatkan bantuan termasuk campur tangan kerajaan bagi menyelamatkan mereka," katanya.
Katanya, langkah yang diambil itu tepat kerana selepas mereka keluar dari tempat tersebut, mereka mendapat pendidikan yang sempurna dan kini bahagia dengan keluarga kecil masing-masing.
"Saya harap tiada mana-mana pihak terutama wanita dan kanak-kanak tertindas kerana mereka sepatutnya diberi pilihan untuk hidup bebas seperti insan biasa," katanya yang bakal menerima Ijazah Kedoktoran dalam bidang Etnobotani dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Baru-baru ini, Sabrina yang menetap di Paris membuat pendedahan mengejutkan mengenai ibunya, yang menjadi isteri keempat salah seorang ahli tertinggi GISB (dahulu dikenali sebagai Al-Arqam).
Menurut Sabrina, terlalu banyak pengabaian yang berlaku kepada ibunya semasa berada dalam organisasi tersebut sebelum diselamatkan oleh neneknya itu.
Sebelum ini, kisah hidup Rohani diketahui ramai kerana beliau merupakan wanita tunggal dari Perancis yang mahir bertutur dalam dialek Terengganu selepas berkahwin dengan penduduk tempatan, Allahyarham Wan Othman Wan Abdullah.
Rohani yang meminati bidang pelayaran jatuh cinta dengan kesenian, warisan dan kebudayaan Terengganu.
Wanita tersebut datang ke negeri ini pada tahun 1971 kerana menempah kapal buatan tukang bot tempatan.