KUANTAN - Seorang lelaki warga emas kerugian RM184,000 angkara sindiket penipuan menyamar pegawai polis Bukit Aman.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 75 tahun diperdaya dengan dakwaan nombor akaun miliknya telah disalahgunakan untuk tujuan penggubahan wang haram.
Menurutnya, mangsa dihubungi suspek pada 8 September lalu sebelum dimaklumkan tentang dakwaan tersebut.
"Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuka akaun bank baharu dan memindahkan semua wang ke akaun itu bagi tujuan siasatan dan semakan Bank Negara.
Yahaya berkata, suspek memaklumkan akan menghubungi mangsa semula setelah siasatan selesai.
"Mangsa syak ditipu selepas gagal menghubungi suspek lalu tampil membuat laporan polis di sebuah balai di Kuantan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah panik dan jangan mudah percaya dengan sebarang dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali.
"Buat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan," katanya.