Kes 5 sekeluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram dipindah ke Mahkamah Tinggi KL

Iklan
Tertuduh berdepan sembilan pertuduhan berasingan berkaitan keganasan.

JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memindahkan kes lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lepas yang berdepan dengan sembilan pertuduhan berasingan berkaitan keganasan, ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Rasidah Roslee memindahkan kes itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan.

Iklan
Iklan

Kelima-lima mereka terdiri daripada bapa penyerang berkenaan Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62; ibunya Rosna Jantan, 59; dan tiga adik-beradiknya Radin Romyullah Radin Imran, 34; Farhah Sobrina Radin Imran, 23; dan Mariah Radin Imran, 19.

Mahkamah memerintahkan Radin Imran dan Radin Romyullah ditempatkan di Penjara Sungai Buloh, manakala Rosna dan Farhah Sobrina ditempatkan di Penjara Kajang yang masing-masing di Selangor.

Iklan

Bagi Mariah pula, mahkamah memerintahkan remaja itu ditempatkan di Hospital Permai di sini selama sebulan, bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Faizal Rahman.

Iklan

Pada 19 Jun, mereka didakwa di mahkamah sama atas sembilan pertuduhan berasingan termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Pada kejadian serangan di balai polis itu 17 Mei lepas, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban selepas diserang seorang lelaki manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak.

Suspek turut ditembak mati dalam insiden serangan itu. - Bernama