548 hektar hutan simpan dimansuhkan, beri laluan projek kuari - NGO

Iklan
Selain SAM dan Kuasa, beberapa NGO tempatan antaranya Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia, Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak, Komuniti Nelayan Jeti Sungai Gelam dan Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia turut hadir menyokong gesaan kepada kerajaan negeri menarik balik pemansuhan 548 hektar Hutan Simpan Segari Melintang.

MANJUNG - Kerajaan Perak digesa menarik balik pemansuhan 548 hektar Hutan Simpan Segari Melintang di Teluk Mengkudu di sini yang didakwa diluluskan bagi projek pembangunan kuari.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, keputusan pemansuhan di sebahagian kawasan yang melibatkan beberapa kompartmen itu dilakukan pada Mei tahun lalu.

Meor Razak

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia melibatkan 287.8 hektar di kawasan sebelah pantai dan 260.3 hektar lagi di hutan perlindungan kawasan Air Terjun Tanjung Batu.

"Pemansuhan ini telah menimbulkan kebimbangan kepada komuniti nelayan dan penduduk sekitar kerana akan memberi kesan jangka masa panjang terhadap ekonomi setempat.

Iklan

"Ini termasuklah kemerosotan hasil tangkapan nelayan persisir pantai yang disebabkan kualiti air terganggu," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau berkata, keputusan pemansuhan itu turut mengejutkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar yang menyifatkan kawasan terbabit sebagai satu-satunya hutan bukit pantai yang masih terdapat di pesisiran pantai di negeri ini.

Iklan

Katanya, berbanding hutan darat, hutan bukit pantai mempunyai kepelbagaian biologi berbeza terutama spesies pokok yang bernilai komersil, malah pantainya yang berpasir merupakan kawasan sesuai untuk pendataran penyu.

"Sejauh mana kemampuan pihak berkuasa dan agensi kawal selia dapat pastikan penggerak projek ini mematuhi syarat kelulusan EIA itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Noor Ismady Ahmad Radzuan berkata, semakan mendapati, pemansuhan sebahagian hutan simpan itu bercanggah dengan Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030.

Meor Razak (kanan) bersama Noor Ismady menunjukkan pelan kawasan seluas 548 hektar Hutan Simpan Segari Melintang di Teluk Mengkudu yang dimansuhkan bagi projek pembangunan kuari.

Katanya, dalam mesyuarat bersama jawatankuasa teknikal pada 2016 lalu, telah dipersetujui untuk menolak sebarang projek kuari baharu di kawasan itu selain mengekalkan hutan simpan berkenaan sebagai guna tanah hutan dan hutan simpan kekal.

"Kerja-kerja awal bagi projek pembangunan kuari di kawasan itu telah dilakukan sejak tiga bulan lalu dan nelayan maklumkan sekarang ini pun boleh nampak beberapa kawasan telah diratakan untuk laluan jentera-jentera berat.

"Kami berharap kerajaan negeri dan pihak-pihak berkuasa berkaitan memperhalusi semula pemansuhan kawasan hutan simpan ini dan mempertimbangkan supaya diwartakan semula sebagai hutan simpan kekal.

"Perlu fikir juga kepentingan penduduk dan alam sekitar," katanya.

Seorang nelayan dari Sungai Batu, Zolkapli Hassan, 63, berkata, pemansuhan status hutan simpan itu turut melibatkan kawasan zon penampan di Pantai Teluk Akuan yang sebelum ini menjadi kawasan rehat nelayan sekiranya berlaku ribut di laut.

"Jika kawasan ini berlaku kemusnahan, susahlah kami. Sekarang ini pun kami susah nak dapat ikan, takut nanti apabila lebih banyak kawasan terganggu, hasil tangkapan semakin berkurang," katanya.