KHAN YUNIS - Penderitaan penduduk Gaza yang menjadi mangsa perang genosid selama hampir setahun seakan-akan diabaikan setelah komuniti antarabangsa kini memberi tumpuan terhadap konflik Hizbullah-Israel yang semakin meruncing.
Kebimbangan itu turut disuarakan Nezar Zaqout yang menjadi salah seorang daripada kira-kira 1.9 juta penduduk Palestin yang terpaksa berpindah-randah tanpa arah tuju.
"Kami telah dilupakan sepenuhnya. Tiada lagi berita tentang kesengsaraan yang ditanggung kami dipaparkan rangkaian media antarabangsa,” katanya yang kini berlindung di Khan Yunis selepas berpindah dari Bandar Gaza, beberapa bulan lalu.
Keluhan sama turut dinyatakan Saadi Abu Mustafa yang kini menjadi penghuni 'bandar khemah' di zon selamat ciptaan Israel di al-Mawasi.
"Tiada lagi yang peduli tentang kami sedangkan setiap hari kami terus dihujani bom dan menjadi korban kezaliman rejim Zionis,” ujarnya.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dikatakan telah memindahkan unit utama mereka dari Gaza ke kawasan utara bersempadan Lubnan setelah rantau Asia Barat itu diancam peperangan baharu.
Kempen pengeboman bagaimanapun terus diperhebatkan di wilayah tersebut malah sekolah yang menjadi tempat berlindung penduduk Palestin sekali lagi dibedil pada akhir minggu lalu dan meragut puluhan nyawa yang kebanyakannya wanita serta kanak-kanak.
Ketika ini, hujan lebat luar biasa telah memburukkan lagi situasi di al-Mawasi yang menyaksikan penduduk Gaza terpaksa meredah lumpur dan berdepan kerosakan harta benda.
Proses damai untuk melaksanakan gencatan senjata secara kekal juga gagal dicapai setelah negara perantara yang terlibat lebih memfokuskan potensi perang Hizbullah-Israel. - Agensi