Keselamatan siber, pembangunan aplikasi mudah alih dipertandingkan di WSMUC 2024

Iklan
Bidang Keselamatan Siber dan Pembangunan Aplikasi Mudah Alih antara dua daripada lapan kategori yang dipertandingkan menerusi ‘World Skills Malaysia University Challenge’ (WSMUC) 2024 di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

KUALA LUMPUR - Bidang Keselamatan Siber dan Pembangunan Aplikasi Mudah Alih antara dua daripada lapan kategori yang dipertandingkan menerusi ‘World Skills Malaysia University Challenge’ (WSMUC) 2024 di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Ketua Hakim bidang Keselamatan Siber, Profesor Madya Dr Ahmad Shahrafidz Khalid berkata, pertandingan anjuran UniKL dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia itu memfokuskan pelajar berusia 25 tahun ke bawah sebagai persediaan menghadapi cabaran di peringkat ASEAN, Asia serta dunia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 12 peserta bidang keselamatan siber dan 13 daripada pembangunan aplikasi mudah alih berentap bagi merebut hadiah kemenangan sebanyak RM1,000 untuk setiap kategori yang akan diumumkan pada November nanti.

"Markah perlu capai 850 per 1,000 ke atas bagi melayakkan dapat tempat pertama dan peringkat seterusnya. Jika hanya peroleh gangsa juga dikira tak layak kerana tak melepasi standard dunia.

Iklan

"Katakanlah selepas ini bertanding untuk negara, peserta perlu melepasi julat pemarkahan ditetapkan agar kualitinya setanding dengan juara dunia lain.

"Mengikut perancangan jangka panjang, kami ingin sasarkan penyertaan di Shanghai, China pada 2026 akan datang. Justeru, kami sedang mempersiapkan peserta untuk berentap di kejuaraan tersebut,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di bangunan kampus bandar UniKL, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Dekan Institut Informasi Teknologi Malaysia (MIIT), Profesor Madya TS Dr Mohd Nizam Husen beserta Ketua Hakim bidang Pembangunan Aplikasi Mudah Alih iaitu Ts Nurdatillah Hasim, TS Mohd Rizal Atan dan Dr Abdul Hadi Mohamad.

Penyertaan secara individu itu melibatkan pelajar daripada MIIT UniKL, Universiti Teknologi Melaka (UTeM), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, Politeknik Kuala Terengganu dan Kolej Profesional Mara Beranang.

Pertandingan WMSUC 2024 di UniKL berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 September ini, begitu juga empat kategori lain yang diadakan serentak pada tarikh sama iaitu di Institut Teknologi Industri Malaysia (UniKL-MITEC), Kolej Perubatan Diraja Perak (UniKL-RCMP) dan Institut Reka Bentuk Malaysia-Itali (UniKL-MIDI)

Antara bidang lain yang turut diketengahkan dalam pertandingan cabaran dunia berkenaan adalah Reka Bentuk Kejuruteraan Mekanikal, Penyelenggaraan Pesawat, Logistik dan Penghantaran Barang, Kesihatan dan Penjagaan Sosial, Teknologi Kereta Api, Teknologi Reka Bentuk Industri serta Teknologi Makmal Kimia.