Pengarah syarikat ditipu peguam RM1.9 juta

Iklan
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR - Polis menerima laporan daripada seorang pengarah syarikat berkaitan kes pecah amanah jenayah oleh peguam melibatkan kerugian RM1.9 juta pada 11 September lalu.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seorang wanita berusia 47 tahun yang mendakwa telah ditipu oleh sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.

"Wanita itu mendakwa syarikatnya telah melantik sebuah firma guaman untuk menguruskan perihal empat tuntutan sivil terhadap pengadu pada 2022.

Iklan

"Pada awal tahun 2023, mahkamah telah mengeluarkan perintah 'Mareva Injuction' terhadap harta milik pengadu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Selasa.

Ramli berkata, rentetan itu, suspek yang merupakan pemilik firma guaman yang dilantik telah membuat tawaran untuk memindahkan harta dan wang tunai milik wanita itu kepada suspek untuk dijaga sementara tuntutan sivil tersebut berlangsung.

Iklan

"Percaya dengan tawaran yang diberikan, pengadu telah menyerahkan wang serta beberapa barangan mewah miliknya kepada suspek dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.9 juta," katanya.

Menurutnya, pada penghujung tahun lalu, pengadu memutuskan untuk tidak lagi menggunakan khidmat guaman itu dan meminta suspek memulangkan semua wang tunai dan barangan mewah yang telah diamanahkan.

"Bagaimanapun, suspek gagal berbuat demikian dan memberikan pelbagai alasan.

"Pengadu mengesyaki suspek telah menyalahgunakan wang serta barangan mewah tersebut untuk kepentingan peribadi," katanya.

Dalam kes berasingan, Ramli berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 81 tahun terhadap sebuah firma guaman yang didakwa telah menipu dalam urusan pengendalian kes sivil, pada Jumaat lalu.

"Pengadu yang merupakan seorang pengarah di sebuah syarikat pembinaan telah melantik firma guaman itu bagi mengendalikan tuntutan saman yang dibuat oleh syarikatnya terhadap sebuah syarikat lain pada 2009.

"Pada sekitar Ogos 2024, pengadu telah menghubungi peguamnya untuk mengetahui status tuntutan saman yang difailkan dan dimaklumkan bahawa syarikat miliknya telah menang dalam kes sivil tersebut," katanya.

Ramli berkata, peguam itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan.

"Pengadu kemudiannya telah membuat semakan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia dan mendapati syarikat yang disamannya telah diberikan perintah penggulungan pada 2012.

"Malahan, pada 2018 Jabatan Insolvensi Malaysia telah membuat bayaran tuntutan yang difailkan syarikat pengadu berjumlah RM438,397.50 kepada firma guaman suspek," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, suspek gagal menyerahkan wang tersebut kepada pengadu.

"Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan," ujarnya.