LUMUT - Seorang kelindan lori maut manakala pemandunya cedera selepas kenderaan mereka dipercayai melanggar belakang treler di Kilometer 237.5 Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Ayer Tawar di sini pada Selasa.
Dalam kejadian itu, lelaki warganegara Nepal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 3.35 petang.
Menurut beliau, kemalangan melibatkan lori bermuatan telur ayam dinaiki mangsa dan treler.
"Terdapat dua mangsa di dalam lori iaitu pemandu lelaki berusia 23 tahun yang mengalami kecederaan ringan.
"Kelindannya telah tersepit di tempat duduknya dan disahkan maut di lokasi oleh pegawai perubatan," katanya.
Sabarodzi berkata, operasi mengeluarkan mangsa dilakukan menggunakan peralatan menyelamat.
"Pemandu yang cedera dibawa mendapatkan rawatan lanjut manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi tamat pada jam 4.05 petang," katanya.