'Banyak kali nampak tapir cari makanan belakang rumah' - Penduduk

Iklan
Kelibat tapir betina yang berjaya dirakam oleh penduduk kampung.

LIPIS - Penduduk di Kampung Putu di sini mendakwa sering terserempak dengan seekor tapir betina yang mencari makanan sejak lebih dua bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Shafei Ibrahim memberitahu, selain pada waktu siang, haiwan liar itu juga kelihatan pada malam berhampiran rumah penduduk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ini tapir tersebut bersama seekor anaknya, namun tidak kelihatan sejak bulan lepas dipercayai mengikut kawanan (tapir) lain.

Antara kesan tapak dipercayai tapir tersebut yang ditemui penduduk kampung.

"Kehadiran tapir betina ke sini kemungkinan kampung ini banyak tanaman sayur kangkung subur di halaman dan belakang rumah penduduk.

Iklan

"Selain itu, tapir tersebut makan buah-buahan yang gugur ke tanah seperti cempedak, nangka, rambutan, ciku, langsat dan sebagainya," katanya.

Ujarnya, tapir tersebut juga berani menghampiri bahagian dapur rumah penduduk di sini untuk memperoleh makanan.

Iklan

"Banyak kali tapir ini menghampiri belakang rumah saya pada waktu petang dan malam makan tanaman kangkung dan ubi.

"Setakat ini, haiwan ini masih tidak mengganggu kehidupan penduduk, namun tetap mengambil langkah berjaga-jaga untuk berdepan sebarang kemungkinan," tambahnya.

Jelasnya lagi, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah memasang papan tanda berdekatan Jalan Lipis - Jerantut untuk pengetahuan orang ramai bahawa kawasan itu di bawah pemantauan jabatan tersebut.

Seorang penduduk, Sofiah Malik,45 berkongsi pengalamannya ternampak kelibat haiwan liar terbabit berhampiran dapur rumahnya.

"Dari dalam rumah, ketika memasak waktu petang, haiwan liar ini kerap menghampiri bawah pokok ciku sambil menghidu buah yang gugur serta makan tanaman pucuk muda di kawasan berkenaan.

"Haiwan ini kelihatan jinak, tidak takut bunyi bising, tetapi sekiranya tahu manusia berdekatannya, terus lari masuk ke dalam semak kemungkinan spesies ini jenis pemalu," katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Shazwani Afifah,15, turut mendakwa kerap terserempak dengan tapir tersebut melintas jalan ketika pulang dari sekolah.

"Kadang-kadang pada waktu petang menjelang maghrib haiwan liar ini berada di belakang rumah saya sambil mencari makanan dan tidak mendengar walaupun banyak kali menjerit (menghalau)," jelasnya.

Remaja terbabit turut berharap haiwan itu dapat ditangkap dan ditempatkan di habitat baharu yang lebih sesuai demi kelangsungan makanan dan pembiakan spesies tersebut yang hampir pupus.