KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, menolak permohonan semakan kehakiman oleh aktivis, Siti Kasim dan seorang lagi individu untuk mencabar keabsahan perintah larangan terhadap perhimpunan yang mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki meletak jawatan, pada 2022 lalu.
Hakim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menolak permohonan Siti Kasim yang juga seorang peguam, dan seorang lagi individu, S Raveentheran dengan menyatakan, perintah terbabit ialah sah, sebagai langkah pencegahan penyebaran Covid-19.
Menurutnya, Majistret tidak bertindak secara 'ultra vires' atau melangkaui undang-undang ketika mengeluarkan perintah larangan bagi menghalang penularan wabak berkenaan.
"Keputusan Mahkamah Majistret sebelum ini sah, maka semakan kehakiman ini ditolak dan tiada perintah mengenai kos,” kata Hakim.
Siti dan Raveentheran selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman itu bagi mencabar perintah larangan dengan menamakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya; Timbalan KPD Dang Wangi, Deputi Superintenden Muhammad Faizal Mohd Amir; Ketua Polis Negara; Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia selaku responden.
Pada mulanya, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kedua-dua pemohon itu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berkenaan.
Bagaimanapun, pada Mei tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka dan mengarahkan ia dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit semakan kehakiman.
Dalam permohonan semakan kehakiman berkenaan, Siti Kasim dan Raveentharan menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan atas dakwaan pencabulan hak asasi kebebasan bergerak, bersuara dan hak untuk berhimpun.
Siti Kasim turut memohon ganti rugi kerana terpaksa menanggung malu, mengalami tekanan dan menanggung kekejangan kaki yang teruk selepas terpaksa berjalan daripada Lorong Medan Tuanku ke lokasi perhimpunan baharu di Bangsar selepas pihak polis melakukan sekatan di lokasi asal perhimpunan.