KUALA PILAH - Pengusaha rock melon di Kampung Majau di sini terpaksa menanggung kerugian lebih kurang RM60,000 apabila tanamannya rosak akibat ditenggelami banjir pada Isnin.
Hujan berterusan selama empat jam bermula 6 petang itu mengakibatkan kira-kira 3,000 polibeg hanyut selain 80 peratus rock melon yang ditanam terjejas dan pagar elektrik rosak selain beberapa kerosakan lain.
Pengusahanya, Muhammad Arif Hamdan, 32, berkata, ia merupakan kejadian kedua berlaku selepas Mei lalu, yang mana jangkaan hasil sepatutnya pada musim ini adalah 18 tan berbanding musim lalu sebanyak 14 tan sahaja.
"Sebelum ini kita ada 6,000 polibeg dan ditambah lagi 1,500 menjadikan jumlah keseluruhan anak pokok rock melon yang kita ada 7,500.
"Kini yang tinggal sekitar 4,000 anak pokok dekat rumah semaian, tidak tahulah mana nak pindahkannya sebab kawasan plot tanaman kita habis rosak sebab banjir," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.
Ujarnya, tahun ini merupakan tahun kedua mengusahakan tanaman rock melon tersebut di tanah pusaka keluarga seluas 0.6 hektar, bagaimanapun tiada kejadian banjir berlaku pada tahun lalu.
"Ladang rock melon ini merupakan perusahaan keluarga dan ia merupakan pendapatan utama saya selepas berhenti bekerja di sebuah syarikat pembinaan sejak tiga bulan lalu. Keputusan ini dibuat semata-mata untuk memberi fokus terhadap pekerjaan ini sahaja.
"Sebenarnya tempoh hari selepas banjir kali pertama saya hampir putus asa untuk meneruskan projek ini tetapi kembali semangat selepas mendapat dua geran bantuan daripada kerajaan berjumlah RM30,000 sekali gus dapat menampung sedikit kerugian sebelum itu.
"Tetapi tidak sangka pula kejadian sama berulang dan saya percaya ia ada kaitan dengan keadaan sungai berhampiran ladang kami," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Majau, Mohamad Don Maamor berkata, pihaknya sudah memanjangkan masalah banjir itu kepada pihak bertanggungjawab dan yakin ia dalam tindakan pihak tersebut.
"Saya juga berharap kejadian sama tidak berulang berikutan projek seumpama ini memberi impak yang positif terhadap penduduk kampung terutamanya daripada segi pekerjaan," katanya.