Tiada tempat selamat, hujan tambah derita warga Gaza

Iklan
Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Gaza memburukkan lagi keadaan yang sudah pun kritikal bagi rakyat Palestin. - Foto: Reuters

GAZA - Warga Gaza yang terpaksa tinggal di khemah akibat serangan Israel kini berdepan bencana baharu apabila hujan lebat secara tiba-tiba memburukkan lagi keadaan mereka, lapor Agensi Anadolu.

Di pelbagai wilayah di Semenanjung Gaza yang diserang Israel selama 353 hari, ketibaan musim sejuk menyebabkan khemah dan barang milik penduduk Palestin ditenggelami air.

Iklan
Iklan

Kira-kira dua juta penduduk Gaza yangg kehilangan tempat tinggal sedang bersiap sedia untuk menghadapi musim sejuk kedua di bawah kepungan Israel.

Khemah sementara yang mereka diami hampir setahun telah rosak dan tidak lagi boleh digunakan.

Iklan

Kerajaan di Gaza yang menekankan isu itu dalam satu kenyataan pada 14 September memberi amaran bahawa dengan ketibaan musim sejuk, dua juta rakyat Palestin berdepan bencana kemanusiaan.

Kenyataan itu menyatakan bahawa 74 peratus daripada khemah yang didiami penduduk tidak boleh digunakan dan 100,000 daripada 135,000 khemah perlu diganti segera kerana rosak teruk.

Iklan

Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Gaza sudah memadai untuk menenggelamkan khemah dan isi kandungannya, memburukkan lagi keadaan yang sudah pun kritikal bagi rakyat Palestin.

Kawasan di luar khemah pula berubah menjadi paya berlumpur.

Dibiarkan tanpa pilihan, penduduk Palestin menyuarakan keputusasaan mereka kepada dunia, mengatakan bahawa satu-satunya tempat perlindungan mereka kini adalah"langit."

Muhammad Abdullah Kobi yang berpindah ke Kem Pelarian Nusayrat di tengah Gaza bersama keluarganya untuk tinggal di dalam khemah menceritakan bagaimana khemah itu sudah usang dan koyak manakala tapak di mana mereka mendirikannya tidak sesuai untuk didiami.

Kobi menjelaskan bahawa hujan lebat sekejap pun sudah cukup untuk menyebabkan khemah ditenggelami air, dan mereka tidak menerima sebarang kanvas kalis air atau bekalan daripada organisasi antarabangsa untuk membantu mereka menghadapi musim sejuk.

"Hujan turun kira-kira satu jam, dan inilah hasilnya. Apa yang akan kami lakukan jika hujan berlarutan selama beberapa hari? Tiada tempat selamat atau sesuai untuk kami pergi - tiada rumah, malah karavan pun tiada. Kami juga tidak mempunyai ubat untuk anak-anak apabila mereka jatuh sakit,” kata Kobi.

Situasi sama turut berlaku di bandar Deir al-Balah, satu lagi kawasan yang terjejas akibat hujan.

Ahmed Abdullatif, yang tilam dan selimutnya basah akibat hujan menyatakan kekecewaannya:"Penderitaan kami berterusan, dan tiada siapa yang ambil peduli. Orang ramai seolah-olah seronok melihat kesengsaraan wanita dan kanak-kanak kami.”

Di khemah lain, Fatma yang juga seorang wartawan cuba menjahit semula khemah mereka yang koyak manakala suaminya, Khalid berusaha menyelamatkan barang-barang mereka daripada air banjir.

"Berapa lama lagi kami harus menanggung tragedi ini?" soal Khalid, menyeru masyarakat antarabangsa dan organisasi kemanusiaan untuk menghentikan konflik di Gaza. - Bernama