SINGAPURA - Pihak berkuasa Singapura melancarkan siasatan terhadap kejadian buli di Sekolah Rendah Qihua selepas rakaman video itu menjadi tular di WhatsApp dan Telegram.
CNA memetik kenyataan polis pada Isnin melaporkan aduan tentang insiden itu telah dibuat kepada pihak berkuasa.
Klip berdurasi selama kira-kira empat minit itu menunjukkan tindakan seorang pelaku memukul murid lelaki yang bertubuh lebih kecil dan memakai uniform sekolah di Woodlands.
Mangsa ditolak ke tepi tangga di mana dia ditumbuk dan ditendang beberapa kali tanpa belas kasihan.
Menerusi rakaman video itu, kedengaran rayuan mangsa yang meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang mencetuskan kemarahan pelaku.
Bagaimanapun, masih tidak jelas tarikh sebenar kejadian itu berlaku.
Klip insiden buli yang dikongsi di TikTok pada minggu lalu menunjukkan seorang pelajar di Sekolah Menengah Bukit View turut berdepan perbuatan sama.
Pada Ahad, Kementerian Pendidikan menegaskan mereka mengambil serius sebarang bentuk perbuatan buli di sekolah. - Agensi