Bunuh bapa kandung, lelaki diperintah bela diri

Iklan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan seorang lelaki membela diri atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya, dengan memukul mangsa dengan kayu dan menetaknya dengan pisau pemotong daging, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin, memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Jamil Tawasil, 39, daripada pertuduhan pada akhir kes pendakwaan.

Iklan
Iklan

Dalam keputusan sebulat suara itu, Hakim Ahmad Zaidi berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila membebaskan responden (Jamil) tanpa memanggil membela diri dan memerintahkannya diletakkan di bawah penjagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama diperkenankan Sultan Selangor, di bawah Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah.

"Setelah mendengar hujahan peguam dan Timbalan Pendakwa Raya, kami dapati berdasarkan kepada keterangan dikemukakan pihak pendakwaan, satu kes prima facie telah wujud dalam kes ini. Pada pertimbangan kami, D46 (laporan psikiatri responden) tidak cukup untuk menyatakan ketidaksiuman di bawah undang-undang di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan dan dalam kes ini pihak pendakwaan tidak diberikan peluang untuk menyangkal D46.

Iklan

"Oleh itu, rayuan perayu dibenarkan dan responden diperintahkan untuk membela diri. Kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan di hadapan pesuruhjaya kehakiman sama,” kata Hakim Ahmad Zaidi, yang turut menetapkan 8 Okt untuk sebutan kes di Mahkamah Tinggi berkenaan.

Pada November 2023, Pesuruhjaya Kehakiman Dr Wendy Ooi Su Ghee membebaskan Jamil daripada pertuduhan membunuh selepas memutuskan dia mengalami ‘sakit otak’.

Iklan

Bagaimanapun, Jamil diperintah untuk diletakkan di bawah penjagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama yang diperkenankan Sultan Selangor.

Su Ghee dalam penghakimannya berkata, lelaki itu didapati tidak waras ketika memukul mangsa dengan kayu dan menetaknya menggunakan pisau pemotong daging.

Mengikut pertuduhan, Jamil didakwa membunuh Tawasil Sinag, 68, di sebuah rumah di Taman Puteri Taragon, Batu 9 Cheras, Hulu Langat dekat sini, antara jam jam 11 dan 11.15 malam, 9 November 2019.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol berhujah bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila membebaskan responden daripada tuduhan membunuh pada akhir kes pendakwaan.

"Hakim bicara telah mengguna pakai laporan psikiatri oleh pakar psikiatri Dr Saramah Mohd Isa dan membebaskan perayu. Pihak pendakwaan sepatutnya diberi peluang untuk menyoal doktor berkenaan mengenai laporan psikiatri yang menyatakan perayu menghidap skizofrenia dan pernah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan di Hospital Kajang.

"Oleh itu, saya mohon rayuan pendakwaan dibenarkan,” katanya.

Pada prosiding hari ini, Jamil diwakili peguam Gurbachan Singh. - Bernama