TELUK INTAN - Seorang wanita warga emas maut selepas lori dipandu anak lelakinya melanggar belakang lori tanah di Jalan Sungkai, Kampung Air Hitam di sini pada Selasa.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Yap Soh Choo berusia 74 tahun manakala anaknya berusia 43 tahun cedera ringan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat kemalangan pada jam 4.02 petang.
"Setibanya jentera di lokasi, didapati dua beranak itu tersepit dalam kenderaan, namun wanita terbabit telah disahkan maut oleh pegawai perubatan.
"Anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat," katanya.
Sabarodzi berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 4.46 petang.