'Kami tak mahu MoU, kami cuma tuntut janji' - Wan Ahmad Fayhsal

Iklan
Wan Ahmad Fayshal. - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM - Pihak pembangkang tidak memerlukan memorandum persefahaman (MoU) peruntukan sebaliknya hanya mahu menuntut janji yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam manifiesto kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, manifiesto berkenaan menunjukkan kerajaan mahu memperkasa sistem demokrasi dan kuasa rakyat menerusi pemberian dana sama rata menerusi penyediaan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada semua wakil rakyat Parlimen tanpa mengira parti.

Iklan
Iklan

"Ia juga perlu disalurkan melalui Parlimen dan bukan pejabat Perdana Menteri. Ini penting kerana bagi saya ia merupakan agenda reformasi yang baharu disambut baru-baru ini. 26 tahun tetapi kini bila mereka ada kuasa besar dan mampu laksanakannya, namun ia tidak dijadikan agenda untuk rakyat.

"Jadi timbul tanda tanya, kalau dulu kamu (Anwar) janji dan kini mampu tunaikannya... kenapa ada pertimbangan lain seperti MoU ini? Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang kuat dengan dua per tiga sokongan berbeza dengan tampuk pemerintahan sebelum ini," katanya.

Iklan
Wacana Sinar edisi 457 bertajuk"MoU Kerajaan-Pembangkang: Jambatan Atau Tembok?” (Dari kiri) Ismail Adnan; Azli Yusof; Wan Ahmad Fayhsal dan Muhammad Faisal yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa - FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi MoU Kerajaan-Pembangkang: Jambatan atau tembok? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abd Aziz dan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.

Iklan

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayshal menegaskan, MoU yang ada pada hari ini tidak sama dengan apa yang ditawarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA).

Ujarnya, jika menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, MoU itu merupakan satu percubaan melanggar prinsip demokrasi berparlimen, pencabulan pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan judisiari serta cubaan memandulkan pembangkang daripada melakukan kerja semak imbang yang sebenar.

"Malah ia juga memandulkan demokrasi yang ada di Parlimen. Pokoknya... kami tidak mahu MoU, rakyat tak nak MoU. Rakyat cuma tuntut janji Anwar berkaitan reformasi pemberian dana di kawasan Parlimen tanpa kira parti secara adil dan sama rata," tegasnya.

Tambah beliau, Perikatan Nasional (PN) di empat negeri kecuali Terengganu memberi dana yang sama rata kepada semua wakil rakyat pembangkang tanpa MoU dan rundingan.

Ujarnya, ia kerana pihak pembangkang berpegang kepada sikap keadilan kepada rakyat memilih siapa wakil rakyat yang layak memimpin di kawasan masing-masing.

"Kami kalah di Kota Lama, Galas dan Nenggiri baru-baru ini tapi tak perlu menghadap Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud nak mengemis serta meminta (dana), tiada.

"Kita terus bagi ke pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan kerana mereka sudah menang pilihan raya. Ini beza kerajaan PN yang ada hari ini dengan PH yang dipimpin Anwar, apabila dapat kuasa beliau gagal tunai janji," katanya.