Libatkan ahli akademik bersifat berkecuali dalam MoU - Pengerusi Bersih

Iklan
Muhammad Faisal ketika Wacana Sinar edisi 457 bertajuk ‘MoU Kerajaan-Pembangkang: Jambatan atau Tembok?' yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian, bertempat di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa. - FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.

SHAH ALAM - Memorandum persefahaman (MoU) berhubung peruntukan pembangkang perlu melibatkan orang tengah seperti ahli akademik bersifat berkecuali bagi membangunkan neraca positif yang tidak terlalu ke arah politik.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abd Aziz berkata, penglibatan golongan akademik mungkin boleh memberikan saranan atau penjelasan yang lebih jelas dan rasional tanpa perlu menyentuh isu sensitif berlaku dalam negara.

Iklan
Iklan

"Bagi saya, MoU penting untuk kita bawa ke arah politik yang lebih baik dan memperbaiki kompas demokrasi negara supaya kita tidak mewarisi perkara sebelum ini.

"Perlu ada jawatankuasa 'electoral reform' yang dimasukkan dalam MoU supaya masing-masing berbincang apa yang boleh dan tak boleh disepakati. Kalau tidak, berterusan lah kita akan menuduh kategori A sebagai 'bias', B pula tak puas hati," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika Wacana Sinar edisi 457 bertajuk ‘MoU Kerajaan-Pembangkang: Jambatan atau Tembok?' yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian, bertempat di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Antara panelis lain yang terlibat ialah ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dan ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta hos, Ismail Adnan.

Iklan

Sebelum ini, Bersih memaklumkan, draf MoU didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tidak mempunyai item pelaksanaan reformasi yang jelas sebagai parameter penting untuk agenda persefahaman antara kerajaan dan pembangkang, selain daripada pemberian peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada ahli Parlimen pembangkang.

Menurut badan bukan kerajaan (NGO) itu, pembangkang juga tidak menyatakan cadangan yang lebih konkrit selain kekhuatiran mereka terhadap hak Melayu dan bumiputera.

Justeru, Bersih berpandangan bahawa MOU berkenaan perlu ditambah baik dengan memasukkan pelaksanaan agenda reformasi untuk disepakati bersama di antara kerajaan Persekutuan dan pembangkang.