KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan (KPM) untuk kekal memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) setakat ini seharusnya diterima dengan tangan terbuka dan dihormati oleh semua pihak.
Menterinya, Fadhlina Sidek tidak menolak bulat-bulat cadangan mengembalikan kedua-dua peperiksaan itu, sebaliknya beliau meminta agar ia dibawa kepada Kabinet untuk dibincangkan selain mengumpulkan pandangan semua pemegang taruh untuk dinilai semula.
Justeru, KPM kini perlu terus memandang ke depan tanpa berpaling dan memberi tumpuan kepada Kurikulum Persekolahan 2027 dan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu.
Lupakan seketika polemik untuk mengembalikan UPSR dan PT3, kerana lebih baik fokus isu-isu pendidikan lain yang tidak kurang penting.
Dalam Kurikulum Persekolahan 2027 contohnya, aspek pendidikan karakter ditekankan berbanding sistem sebelum ini yang terlalu berorientasikan peperiksaan.
Selama ini, ibu bapa dan guru mahu pelajar cemerlang dalam semua subjek, dan menumpukan perhatian hanya kepada mereka yang pandai sehingga terlupa menerapkan aspek sahsiah pembangunan insan dan pembentukan akhlak kepada yang lain.
Natijahnya, wujud ramai pelajar yang kurang berminat dalam akademik mula berantakan kerana berasa diri mereka tersisih, dan mula mempamerkan perlakuan tidak senonoh tanpa segan silu.
Antaranya terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti merokok. Saringan dijalankan terhadap 1.5 juta pelajar sekolah menengah melalui program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK) tahun lalu mendapati seramai 38,010 daripada mereka melakukan perbuatan berkenaan.
Ini baru sahaja masalah ketagihan merokok, tidak termasuk kebejatan moral yang lain seperti menghisap vape dan gangguan seksual!
Bukan mudah untuk KPM menangani gejala sosial yang semakin membimbangkan di peringkat sekolah rendah dan menengah, namun inilah cabaran yang perlu dihadapi.
Cukup-cukuplah menuding jadi kepada KPM dan menuduh mereka gagal hanya kerana bertegas untuk tidak mengembalikan peperiksaan UPSR dan PT3.Berilah kementerian ini bernafas. Ada masalah lebih besar yang perlu KPM beri tumpuan agar generasi kita tidak rosak atau hilang.
Ia seperti gunung ais; nampak kecil di permukaan laut namun hakikatnya sangat besar di dasar.
Jika kapal KPM tidak berjaya mengelak, habislah semuanya akan dilanggar dan tenggelam di lautan!