GISBH: Kes ugutan bukan jenayah kecil

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Shahul Hamid

SHAH ALAM - Hukuman terhadap pesalah yang terlibat kes ugutan perlu dikaji semula bagi memberi peringatan tindakan itu bukan jenayah kecil dan boleh diulang.

Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, hukuman sedia ada dilihat terlalu ringan berbanding kesan yang dialami mangsa terutamanya trauma, takut dan kebimbangan.

Iklan
Iklan

"Hukuman bagi (kesalahan) ugutan sepatutnya kena penjara mandatori, sekarang hanya denda atau penjara bergantung kepada kesalahan.

"Sebelum ini memang banyak kes ugutan dilaporkan tetapi setakat itu sahaja. Undang-undang sedia ada tidak kuat untuk beri hukuman kepada yang mengugut," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerima mesej ugutan berkait kes GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan awal mendapati insiden tersebut berlaku ketika Mohd Asri yang juga dikenali sebagai Maza menerima beberapa pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada satu nombor telefon tidak dikenali.

Iklan

Mengulas lanjut Shahul Hamid berpandangan, undang-undang berkaitan perlu lebih tegas untuk memberi kesedaran dan kesan kepada pelaku tentang keseriusan melakukan jenayah ugutan.

"Ugutan merupakan permulaan tindakan jenayah walaupun niatnya hanya untuk menakutkan mangsa. Sekiranya tiada sebarang asas, akan disabit ugutan jenayah.

"Kalau dia ugut nak bunuh mangsa, bermaksud sudah ada niat. Sekiranya mangsa tiba-tiba ditemui mati, pelaku yang ugut sudah dikira suspek," jelasnya.