PELBAGAI bentuk kezaliman yang tidak sepatutnya berlaku telah dilaporkan di dalam negara.
Bukan sahaja penderaan fizikal, malah mental dan emosi juga tidak terlepas daripada dicabuli oleh mereka yang dianggap sebagai pelindung.
Kes sensasi melibatkan ahli kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang didakwa mengabai dan menganiaya kanak-kanak ternyata meruntun jiwa sesiapa sahaja yang menyaksikan beberapa video tular di media sosial.
Melihat video tular kanak-kanak didera oleh seorang guru di rumah amal GISBH, hati penulis jadi panas membara melihat kezaliman tersebut.
Pada Sabtu lalu, polis berjaya menyelamatkan empat kanak-kanak yang merupakan adik-beradik berusia enam hingga 11 tahun dalam Op Global di sebuah rumah amal GISBH di Tapah, Perak.
Apakah sebenarnya yang mahu ditonjolkan oleh si pelaku-pelaku itu?
Penulis sangat tidak faham kenapa ia berlaku dan apakah penyebab mendorong kezaliman itu dilakukan.
Apakah tidak terdetik rasa kasihan dalam diri ketika mana melakukan kezaliman terutama penderaan fizikal.
Tidak dapat digambarkan bagaimana kesakitan si anak kecil menahan serangan ganas ke atas tubuh kecil mereka.
Apabila melibatkan penderaan fizikal, buli juga dianggap satu bentuk kebobrokan yang seharusnya dihindari oleh semua lapisan masyarakat.
Semasa bersekolah dan menetap di asrama ketika zaman remaja, penulis sememangnya menjauhkan diri dengan perbuatan buli.
Kerana tahu perbuatan buli sangat menyakitkan terutama kepada mental individu yang dibuli.
Malah dalam satu kejadian buli di asrama, penulis berjaya menyelamatkan seorang pelajar daripada menjadi mangsa buli.
Ketika dia dipanggil untuk disoal oleh rakan-rakan penulis kerana melakukan kesalahan, dia diminta menyatakan nama dan asal dari daerah mana.
Ketika mangsa menyatakan asal dari daerah dan kampung yang sama dengan penulis, rakan-rakan telah memanggil penulis ke bilik asrama.
Setelah tiba, tanpa berlengah penulis membawa pelajar itu keluar dari bilik asrama kerana tahu pelajar junior yang berada di situ pasti akan menjadi mangsa buli.
Walaupun sudah lama berlaku, rupa-rupanya sehingga kini kejadian itu masih diingati oleh pelajar itu apabila dia memaklumkannya kepada adik penulis.
Mungkin ia satu kisah yang boleh diambil pengajaran buat semua dan bagi diri penulis sendiri.
Jika kita berbuat baik, orang akan mengenangnya selamanya dan begitu juga sebaliknya.
Selain itu, buli bukan sahaja berlaku di peringkat sekolah, malah ia turut menular dalam alam pekerjaan dan kehidupan seharian.
Tanpa disedari, terdapat tutur kata tidak manis dan ejekan yang boleh menjadi 'buli mental' kerana ia menyerang emosi orang lain.
Kes buli di tempat kerja mungkin agak terpencil, namun ia tidak boleh dipandang remeh.
Ini kerana terdapat kes kematian yang berlaku disebabkan oleh perbuatan buli.
Tidak tahan diejek dan dibuli, ada individu yang mahu menamatkannya dengan cara membunuh diri.
Dalam satu kejadian pada 29 Ogos lalu, seorang doktor di Sabah didakwa menjadi mangsa buli serta menghadapi tekanan kerja yang tinggi.
Sebelum ini, doktor berkenaan yang dikatakan baru sahaja melaporkan diri di Hospital Lahad Datu ditemui meninggal dunia di rumah sewanya.
Adik mangsa mendakwa kakaknya ditindas oleh ketua jabatan hospital tersebut, selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.
Oleh sebab itu, kita perlulah berhati-hati ketika berbicara supaya ia tidak menyinggung pihak lain secara berlarutan.
Mungkin bagi kita merasakan ia biasa sahaja, tetapi tidak kepada mereka yang melaluinya dan merasakannya sebagai satu tekanan berat dalam diri.
Marilah kita sama-sama berusaha untuk mengelak daripada melakukan perbuatan buli kerana ia satu kezaliman nyata.
Setiap kezaliman ada pembalasannya. Jika tidak dibalas di atas dunia, di akhirat kelak kita akan dihisab juga atas kesalahan tersebut.
Jika tidak kena pada diri si pembuli, karma itu mungkin akan mengenai ahli keluarganya yang lain.
Berhenti melakukan kezaliman tidak kira di mana kita berada, berhentilah menjadi pembuli.
* Hisyamuddin Ayub ialah wartawan Meja Jenayah