JAKARTA - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun menjadi mangsa manusia zalim apabila dia dibunuh kejam oleh kenalan ibunya.
Media tempatan melaporkan, mangsa Aqilatunnisa Prisca Herlan, diculik sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan yang menyayat hati di pesisir Pantai Cihara, Kecamatan Cihara, Banten pada 19 September lalu.
Ketua Siasatan Jenayah Polis Daerah Cilegon, AKP Hardi Meidikson Samula berkata, susulan penemuan mayat kanak-kanak itu lima orang suspek telah ditahan oleh polis.
"Lima orang (suspek) sudah ditahan iaitu tiga perempuan dan dua lelaki. Mereka mempunyai hubungan yang dekat dengan ibu mangsa.
"Motif penculikan dan pembunuhan mangsa dipercayai berkaitan dengan hutang antara suspek dan ibunya," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Jelasnya, kelima-lima suspek ditangkap pada Sabtu lalu, di mana dua orang ditangkap di wilayah Cilegon dan tiga lagi di Pandeglang.
Tambahnya, tiga suspek wanita kerap meminjam wang daripada ibu mangsa. Malah menggunakan identiti ibu mangsa untuk membuat hutang dalam talian sehingga 75 juta Rupiah (RM20,534).
"Mungkin juga sebab sering diminta untuk melunaskan hutang menjadi penyebab kepada pembunuhan ini," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Cilegon, AKBP Kemas Indra Natanegara, menjelaskan tedapat tiga motif utama kejadian tidak berperikemanusian ini iaitu hutang, dendam dan cemburu.-Agensi