Ganjaran untuk pelajar TVET

Iklan
Institusi TVET perlu memastikan graduan yang dilahirkan berkualiti dan dilengkapi dengan kemahiran diperlukan. Gambar kecil dari kiri: Mohammad Rizan, Ahmad Ismail

SHAH ALAM - Penetapan gaji premium pada kadar antara RM2,500 hingga RM4,000 kepada graduan serta lepasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) diyakini mampu menangani isu kekurangan tenaga kerja mahir yang berlaku dalam pelbagai industri di negara ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan berkata, ini kerana inisiatif berkenaan akan memotivasikan lebih ramai individu untuk mendaftar dalam program TVET dan membangunkan kecekapan yang diperlukan oleh majikan.

Iklan
Iklan

"Gaji premium ini juga akan menyumbang kepada peningkatan keseluruhan kualiti pendidikan TVET kerana ia berfungsi sebagai ganjaran ketara untuk pelajar dan institusi yang mengutamakan kecemerlangan dalam latihan.

"Dengan mengiktiraf dan memberi ganjaran kepakaran yang diperoleh melalui program TVET, majikan bukan sahaja menarik bakat terbaik tetapi juga menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan kemahiran,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Majlis TVET (MTVET) pada Isnin dilapor bersetuju menetapkan gaji premium kepada lepasan TVET pada kadar antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penetapan kadar gaji itu bertujuan menarik lebih ramai lepasan TVET untuk bekerja di sektor berkaitan.

Iklan

Sementara itu, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, seiring dengan penetapan gaji premium berkenaan, institusi TVET perlu memastikan graduan yang dilahirkan berkualiti dan dilengkapi dengan kemahiran diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi.

"Kelayakan masuk ke program TVET juga harus diteliti atau mesti ada program khas persediaan ke program berkenaan untuk menyediakan pelajar berkelayakan.

"Bagi menghasilkan graduan TVET, industri juga memerlukan pelajar yang layak, pengajar berkelayakan dan peralatan yang mencukupi serta memenuhi kehendak latihan khusus mengikut bidang kepakaran universiti berkaitan,” ujarnya.