SHAH ALAM - Pasangan berbangsa cina mengakui berbangga jadi anak Malaysia dan tidak kekok untuk mengajar anak-anak dengan pelbagai budaya di negara ini.
Menurut pemilik akaun Tik Tok BapaBros, ia termasuk memperkenalkan nasi kandar kepada anak-anak dan makan menggunakan tangan yang berbeza dengan budaya mereka.
BapaBros memberitahu, mereka sekeluarga sememangnya suka makan nasi kandar dan wajib menikmati hidangan itu dua atau tiga kali seminggu.
"Saya bertuah berada di negara yang mempunyai pelbagai campuran budaya seperti Melayu, Cina, India dan sebagainya sehinggakan kehidupan harian turut dipengaruhi oleh adat yang ada di Malaysia.
"Macam saya dan isteri suka makan nasi kandar, kari, kuah dan roti canai. Mungkin sebab selalu lihat kami makan, anak-anak pun ikut serta.
"Mereka mula mencuba kepelbagaian makanan itu sejak berumur tiga tahun. Sekarang anak sulung yang dipanggil StrongBoy sudah berumur lima tahun dan dia pula yang minat, kalau pergi makan nasi kandar siap minta kuah banjir," ujarnya.
Sebelum itu, tular video di aplikasi TikTok yang memaparkan gelagat kanak-kanak berbangsa Cina menikmati nasi kandar dengan penuh menyelerakan.
Perkara yang lebih mengujakan apabila kedua-dua kanak-kanak itu makan menggunakan tangan walhal bangsa Cina biasanya sinonim dengan penggunaan chopstik ketika menjamu selera.
Mereka juga kelihatan suka makan makanan pedas seperti kuah kari dan sebagainya.
Bagaimanapun, BapaBros memberitahu dia dan isteri sentiasa memantau pemakanan anak mereka supaya lebih seimbang.
"Ada juga netizen yang komen makan nasi kandar bahaya pada anak seusia mereka namun sebenarnya saya dan isteri bukanlah hari-hari beli nasi kandar. Mereka juga makan menu lain yang berkhasiat seperti sayur-sayuran.
"Saya faham sebab di media sosial sudah pasti ada yang suka dan benci dengan setiap kandungan yang dipaparkan di TikTok, itu perkara biasa. Paling penting kita tahu apa yang terbaik untuk anak-anak," jelasnya.