Asyraf Wajdi terjah dewan makan, asrama pelajar MRSM Mersing

Iklan
Tangkap layar hantaran Asyraf Wajdi di Facebook pada Selasa.

SHAH ALAM - Satu pemeriksaan mengejut dilakukan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing, Johor bagi mengenal pasti sekiranya terdapat masalah yang dihadapi pelajar di sana.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau hanya memaklumkan kepada pengetua sejam sebelum tiba di sekolah berkenaan.

Iklan
Iklan

"Secara umumnya saya berpuas hati dengan tahap kebersihan dan penyediaan makanan.

"Walaupun bab ikan sahaja kecil dan tak sampai berat 130 gram seperti yang disyaratkan namun pengusaha maklumkan mereka akan berikan dua ketul ikan jika bersaiz kecil.

Iklan
Asyraf Wajdi melakukan pemeriksaan mengejut di MRSM Mersing, Johor.

"Saya sudah minta wakil pelajar dan pelajar MRSM Mersing untuk laporkan terus kepada saya jika apa yang dijanjikan pihak Dewan Selera tidak dikota," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, Asyraf memaklumkan, beliau sempat melawat asrama putera dan puteri termasuk melihat keadaan tandas.

Iklan

Ujarnya, terdapat tandas yang mengalami kerosakan seperti pintu dan pili tetapi arahan sudah dikeluarkan supaya ia dibaiki segera dalam tempoh dua minggu.

Asyraf Wajdi melakukan pemeriksaan mengejut di MRSM Mersing, Johor.

"Saya sengaja pilih waktu pelajar balik kelas dan bersedia untuk makan tengah hari supaya dapat tanya sendiri pelajar maklum balas mengenai keadaan dewan selera, asrama, tandas dan keseluruhan suasana di MRSM.

"Saya bagi masa sebulan untuk pengurus dewan selera selesaikan masalah lain seperti kekurangan sabun," katanya.

Pada 5 September lalu, media melaporkan, menu makan malam yang ditetapkan dalam piawaian Mara didakwa tidak diikuti oleh pengusaha dewan selera MRSM Taiping, Perak.

Menurut Asyraf, satu ‘terjahan’ dijalankan bagi meninjau keadaan penyediaan makanan berikutan seramai 31 pelajar mengalami keracunan sehingga dikejarkan ke hospital pada 30 Ogos lalu.

Tambah beliau, pengusaha dewan selera MRSM itu didakwa tidak mengikuti piawaian yang ditetapkan oleh Mara.

Pada masa sama, Asyraf menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dan bersikap tegas terhadap isu yang melibatkan kesihatan pelajar.

Sementara itu, pada Sabtu, Asyraf mengarahkan semua bekalan ayam dan bahan mentah yang dibekalkan ke MRSM wajib mempunyai sijil halal.

Ujarnya, setiap kontraktor makan wajib memperincikan secara bertulis dan menjadi sebahagian kontrak semua perincian bahan-bahan mentah.

Selain itu, mereka turut disyaratkan untuk menyenaraikan nama pembekal termasuk jenama dan sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan yang berkaitan.