Lelaki rentung, tujuh terselamat dalam kebakaran rumah

Iklan
Anggota bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat di lokasi kebakaran sebuah rumah yang mengorbankan seorang lelaki pada Rabu. Foto Bomba Perak

MANJUNG - Seorang lelaki maut manakala tujuh lagi ahli keluarganya terselamat dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Muhibbah 2 dekat Sitiawan di sini awal pagi pada Rabu.

Mangsa dikenali Muhammad Khairul Ridzuan Muhamad Taib, 46, ditemui dalam keadaan rentung di bahagian ruang tamu rumah.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian itu diterima pada jam 2.40 pagi.

"Kejadian melibatkan sebuah rumah teres satu tingkat yang musnah terbakar 60 peratus.

Iklan

"Dalam kejadian ini, seorang meninggal dunia dan tujuh lagi mangsa berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan dan Seri Manjung dikerahkan menjalankan kerja-kerja pemadaman di lokasi kejadian.

Iklan

Katanya, operasi dilaksanakan dengan konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan) seterusnya membuat pemadaman sehingga kebakaran dapat dipadam sepenuhnya.

"Operasi tamat pada jam 5.16 pagi," katanya.