'Scammer' pelaburan paling suka guna Telegram cari mangsa

Iklan
Aplikasi Telegram direkodkan sebagai medium paling tinggi digunakan oleh sindiket penipuan pelaburan dengan 1,455 kes dilaporkan sejak Januari sehingga Ahad. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Aplikasi Telegram direkodkan sebagai medium paling tinggi digunakan oleh sindiket penipuan pelaburan dengan 1,455 kes dilaporkan sejak Januari sehingga Ahad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sejumlah 4,205 kes penipuan pelaburan telah disiasat melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM526,970,796.87.

Iklan
Iklan

"Hasil siasatan, kita mengenal pasti 17 medium utama yang digunakan dalam penipuan pelaburan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Ramli

Ramli berkata, aplikasi Telegram direkodkan menjadi pilihan utama sindiket penipuan dengan 1,455 kes atau bersamaan 34.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan.

Iklan

"Manakala Facebook dan WhatsApp masing-masing merekodkan 1,035 dan 958 kes," katanya.

Ramli berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan berwaspada semasa menggunakan aplikasi tersebut.

Iklan

"Ini kerana kebanjiran kandungan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya telah mengundang satu ancaman membahayakan.

"Berkaitan pelaburan, sewajarnya orang ramai merujuk kepada agensi yang mengawal selia aktiviti pelaburan seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," katanya.

Sindiket penipuan pelaburan guna keldai akaun syarikat

Ramli berkata, polis mengesan sindiket penipuan pelaburan menggunakan akaun bank yang didaftarkan atas nama syarikat dan perniagaan untuk aktiviti penipuan.

Menurutnya, sejumlah 1,369 akaun bank milik 487 syarikat dan perniagaan dikesan digunakan sebagai keldai akaun oleh sindiket penipuan pelaburan sejak Januari hingga Isnin.

"Akaun bank atas nama syarikat dan perniagaan boleh digunakan untuk transaksi penerimaan wang secara lebih kerap serta melibatkan amaun lebih besar tanpa ia disedari oleh pihak institusi kewangan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Ramli berkata, siasatan turut mendedahkan, individu yang dilantik sebagai pengarah di ‘syarikat keldai’ ini kebiasaannya adalah individu yang sedang mencari pekerjaan dan mempunyai masalah kewangan.

"Individu itu pada awalnya hanya mencari pekerjaan melalui iklan jawatan kosong yang dipaparkan di media sosial," katanya.

Beliau berkata, individu itu seterusnya dihubungi oleh ejen pencari akaun keldai dan ditawarkan untuk dilantik sebagai pengarah syarikat.

"Apa yang perlu dilakukan hanyalah membuka beberapa akaun bank atas nama syarikat yang baru ditubuhkan atas nama mereka sendiri dan menyerahkan akaun tersebut kepada ejen.

"Mereka turut dijanjikan komisen secara bulanan atau sekali bayar bagi urusan yang dilakukan," katanya.

Ramli berkata, individu yang sedang mencari pekerjaan, diingatkan supaya tidak terlibat dalam kegiatan seperti itu.

"Sentiasa berhati-hati dan bersikap skeptikal terhadap tawaran pekerjaan sebegini kerana kemungkinan besar anda menjadi pemilik akaun keldai yang merupakan satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang.

"Sentiasa berwaspada dan buat pertimbangan yang sewajarnya sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan," ujarnya.