Isu Kerajaan Perpaduan di Johor dibangkit pemimpin luar, cuba lagakan rakyat - MB

Iklan
Onn Hafiz bersama barisan ahli Exco kerajaan negeri di kediaman rasmi di Sajauna.

JOHOR BAHRU - Tindakan pemimpin pembangkang dari Selangor yang membangkitkan isu Kerajaan Perpaduan di Johor ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota disifatkan tidak bertanggungjawab.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kestabilan politik di Johor ketika ini sepatutnya dikekalkan dan tidak perlu lagi diganggu oleh pemimpin luar.

Iklan
Iklan

"Saya tengok, ini (Kerajaan Perpaduan) antara isu yang dibawa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, pemimpin-pemimpin dari Selangor datang ke Johor untuk melagakan-lagakan masyarakat di sini.

"Kita di Johor, bekerjasama baik dengan rakan-rakan daripada pihak pengimbang.

Iklan

"Johor satu-satunya negeri yang ada pihak pengimbang," katanya pada temu bual di kediaman Menteri Besar Johor di Saujana.

Onn Hafiz yang juga Pengarah PRK Mahkota berkata, pemimpin yang cuba melaga-lagakan ini merupakan pemimpin bermusim.

Iklan

"Saya hendak beritahu rakyat, mereka ini pemimpin bermusim yang datang untuk melaga-lagakan, bagi fitnah dan sebagainya yang akhirnya pulang ke kawasan masing- masing.

"Selepas ini yang tinggal barisan kami (kerajaan negeri) yang akan beri khidmat kepada rakyat, barisan ini juga yang akan bekerjasama dengan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Oleh itu, saya minta rakyat tidak termakan dengan hasutan-hasutan yang tidak bertanggungjawab ini," ujarnya.

Pada minggu lalu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan mencabar Onn Hafiz supaya mengumumkan pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri ini sekiranya BN memenangi PRK Mahkota.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata, Onn Hafiz sepatutnya bersikap terbuka dan adil dalam hal itu kerana sehingga kini tiada Kerajaan Perpaduan di Johor meskipun mendapat sokongan parti komponen lain.

Dalam pada itu, Onn Hafiz menjelaskan isu berkaitan pemimpin di peringkat nasional seharusnya diselesaikan di peringkat nasional dan bukannya di bawa ke DUN Mahkota.

"Saya lihat perbezaan pendapat itu sesuatu yang normal dalam masyarakat majmuk berbilang kaum.

"Sebagai Bangsa Johor, kita sentiasa pentingkan perpaduan, perkara dibawa pemimpin di peringkat nasional biarlah jadi isu nasional.

"Kita di sini mempunyai visi dan hala tuju yang jelas untuk bangunkan negeri dan DUN Mahkota serta daerah Kluang," katanya.

Beliau sebelum itu ditanya mengenai konflik di antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkait isu pensijilan halal yang boleh menggugat undi masyarakat Cina pada PRK Mahkota.