'Dah macam pendatang asing perlu tadah air hujan untuk guna'

Iklan
Penduduk terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan harian mereka. Gambar kecil: Khairul Ahmad

GEORGE TOWN - Penduduk di Mukim 5 Sungai Bakap di Seberang Perai Selatan (SPS) menyifatkan kehidupan mereka tidak ubah seperti pendatang asing apabila perlu menadah air hujan untuk kegunaan harian.

Ini kerana, menurut mereka, masalah tekanan air rendah di kawasan terbabit semakin meruncing sejak enam hari lalu berikutan kebocoran paip utama bersaiz 1,200 milimeter (mm) di Permatang Pauh.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, penduduk di mukim berkenaan telah lama berhadapan dengan masalah tekanan air rendah namun sejak Khamis minggu lalu, ia semakin teruk.

Menurutnya, penduduk sangat tertekan apabila perlu berdepan dengan masalah tekanan air rendah sejak enam tahun lalu.

Iklan

"Dah masuk hari keenam kami mengalami masalah bekalan air selama berbelas jam sehari. Purata bekalan air masuk adalah pada jam 1 pagi dan 'hilang semula' jam 6 pagi.

Penduduk mengambil air daripada tangki air yang disediakan PBAPP.

"Bekalan air masuk dengan tekanan rendah menyebabkan tangki di atas bumbung tidak dapat diisi dalam tempoh yang singkat. Lebih teruk, kadang-kadang jam 5.30 pagi air dah tak ada.

Iklan

"Minggu lalu kami dimaklumkan paip besar di Politeknik Permatang Pauh pecah, namun notis rasmi daripada pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan kerja-kerja selenggara dan pembaikan ditangguhkan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan supaya penduduk dapat buat persiapan.

Penduduk mengambil air daripada tangki air yang disediakan PBAPP.

"Bagaimanapun, kenapa sejak hari kejadian paip pecah sampai ke hari ini, kami di sini mengalami masalah air yang terlampau teruk?" katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambah beliau, kira-kira 13 kawasan di mukim berkenaan antara yang paling terkesan dengan masalah tersebut.

"Kawasan yang paling teruk ialah Taman Seruling Emas, Flat Taman Seruling Emas, Jalan Permatang Ara, Jalan Sungai Duri, Taman Seruling, Wellesley, Kampung Permatang Ara, Taman Widuri, Taman Sungai Duri Indah, Taman Sungai Duri Perda dan sebahagian perkampungan Sungai Bakap, Sungai Duri serta Kampung Sungai Baong.

"Berhari-hari penduduk terpaksa melalui keadaan ini, mana ada manusia mampu tahan dengan masalah ini dalam jangka masa yang lama?

Penduduk terdesak sampai sanggup menadah air hujan untuk kegunaan harian kerana tiada bekalan air sampai berbelas jam," katanya.

Ujarnya, lebih mengecewakan, sehingga Rabu, tiada makluman terkini mengenai pembaikan paip bocor dibuat PBAPP.

"Kehidupan kami di sini amat perit.

Tengah malam baru ada air, itu pun perlahan. Tekanan sangat rendah. Air tidak dapat masuk tangki.

Daripada maklumat yang saya baca (notis PBAPP di Facebook), kerja pembaikan masih belum dijalankan.

"Sampai bila kami perlu tunggu? Kasihan kepada penduduk warga emas yang sakit, mereka yang ada anak kecil, mereka lebih memerlukan bekalan air," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Nurhidayah Che Rose berkata, masalah tersebut adalah disebabkan kebocoran paip utama bersaiz 1,200mm di Permatang Pauh.

Menurutnya, tinjauan di lokasi mendapati, berlaku tiga kebocoran pada paip utama tersebut.

"PBAPP sudah mengenal pasti masalah tersebut dan mereka menyatakan memerlukan tempoh tertentu untuk membaikinya. Ini kerana, kebocoran paip itu pada kedalaman 12 hingga 15 meter.

"Oleh itu, paip baru perlu ditempah dari ibu negara. Itu antara kekangan yang perlu dihadapi PBAPP, mereka memerlukan masa untuk membaikinya," katanya ketika dihubungi.

Tambah Nurhidayah, masalah kebocoran itu menyebabkan kehilangan air sebanyak 20 hingga 24 juta liter di kawasan SPS.

"Apabila berlaku kebocoran, maka ia mengakibatkan tekanan air rendah serta ketiadaan bekalan air di banyak kawasan di SPS.

"Oleh itu, PBAPP telah menggerakkan lima buah tangki air untuk menghantar bekalan ke kawasan terjejas serta tiga unit jumbo bagi mengisi tangki sedutan rumah pam Mukim 5 dengan bantuan bomba sukarelawan," katanya.

Selain itu katanya, beberapa unit jumbo tambahan juga digerakkan ke Mukim 5, Taman Widuri dan Taman Wellesly untuk membantu penduduk yang terkesan.

"Selain PBAPP, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal juga telah menyalurkan bantuan air mineral dan penyediaan tong kepada penduduk yang memerlukan bekalan air minuman bersih.

"Saya mohon penduduk terlibat menyimpan air sementara paip tersebut dibaiki," katanya.