Guna Mercedes-Benz milik anak buat 'ulat' di KLIA

Iklan
Azrin

SEPANG - Khidmat kereta sewa haram kepada pelancong menggunakan Mercedes-Benz milik anak mengundang padah apabila kenderaan itu disita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, pemandu iaitu lelaki tempatan berusia 53 tahun ditahan pada jam 5.43 petang oleh sepasukan anggota Stesen Penguat Kuasa KLIA.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu atau 'ulat' itu dipercayai memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada tiga pelancong warga China.

"Penumpang itu ditawarkan kadar tambang RM100 dari KLIA Terminal 2 ke KLCC, Kuala Lumpur yang akan dibayar setelah tiba di destinasi.

Iklan
Azrin

"Siasatan awal mendapati Mercedes-Benz itu adalah milik anak pemandu terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, mana-mana individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.

Iklan

Tegasnya, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan disediakan di Terminal 1 dan 2 atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

"Sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan," katanya.