[VIDEO] Ketua pembantu tadbir didakwa kemuka dokumen palsu lebih RM20,000

Iklan

SEREMBAN - Ketua pembantu tadbir di sebuah sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berjumlah RM24,032.20, dua tahun lalu.

Fazlizal Kefli ketika hadir ke mahkamah.

Tertuduh, Fazlizal Kefli Jaamat, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut empat pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh sebagai pemilik perniagaan syarikat didakwa memberikan kepada seorang ejen iaitu pembantu tadbir (perkeranian/operasi) Kolej Vokasional Dato' Undang Haji Muhammad Sharip satu dokumen iaitu pesanan sekolah dipercayai untuk memperdayakan prinsipalnya iaitu Pengetua Kolej Vokasional Dato' Undang Haji Muhamad Sharip.

Tertuduh, Fazlizal Kefli Jaamat, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Tertuduh didakwa mempunyai sebab mempercayai dokumen tersebut mempunyai maklumat palsu berkenaan pembekalan barang-barang basah dan kering serta fabrik dengan nilai keseluruhan berjumlah RM24,032.20 yang mana pembekalan tersebut tidak berlaku.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kolej Vokasional Dato' Undang Haji Muhamad Sharip di Rembau antara Julai hingga Disember 2022.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Iklan

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Fatin Nur Athirah Zainudin menawarkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan.

Peguam, Noramin Petra Nor Hanapiah memohon jaminan RM5,000 untuk anak guamnya yang bekerja sebagai ketua pembantu tadbir di sebuah sekolah dengan pendapatan tidak melebihi RM3,000.

Katanya, tertuduh juga mempunyai enam anak berusia antara empat hingga 16 tahun dan ini merupakan kesalahan kali pertamanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dengan syarat perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Seremban pada setiap Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes pada 23 Oktober depan.