Remaja menangis teresak-esak dituduh buat laporan polis palsu

Iklan
Tertuduh menangis ketika diiringi keluar dari kamar mahkamah selepas dihadapkan atas pertuduhan membuat laporan palsu kepada anggota polis berhubung kehilangan wang berjumlah RM600, tiga minggu lalu.

TELUK INTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja perempuan menangis teresak-esak selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Rabu atas pertuduhan membuat laporan palsu kepada anggota polis berhubung kehilangan wang berjumlah RM600, tiga minggu lalu.

Tertuduh, berusia 17 tahun 11 bulan dan telah mempunyai seorang anak perempuan berusia setahun itu menangis teresak-esak ketika diiringi polis keluar dari kamar mahkamah.

Iklan
Iklan

Dalam prosiding itu, tertuduh membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Norhamizah Shaiffuddin.

Remaja itu didakwa memberikan maklumat secara bertulis yang palsu dengan niat mendatangkan bencana menyatakan rakan sekerja lelakinya mengambil wang miliknya berjumlah RM600.

Iklan

Tindakan itu menyebabkan pegawai penyiasat polis melakukan siasatan yang sepatutnya tidak dilakukan terhadap lelaki berusia 27 tahun berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sekitar jam 12 tengah hari pada 10 September 2024.

Iklan

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan menawarkan jaminan RM3,000, bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh mempunyai anak kecil dan tidak lagi bekerja.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukum dan serahan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).