Isteri maut, suami sesak nafas kereta terjunam dalam sungai

Iklan
Mangsa seorang wanita warga emas disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Gambar kanan: Keadaan kereta dinaiki pasangan suami isteri itu yang terjunam dalam sungai di jambatan Balok Makmur di sini, pada Rabu. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang

KUANTAN - Seorang wanita warga emas maut manakala suaminya mengalami sesak nafas selepas kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke dalam sungai ketika melalui jambatan Balok Makmur di sini, pada Rabu.

Dalam kejadian kira- kira jam 10.30 pagi itu, Paridah Dollah, 67, yang beralamat di Taman Inderapura, Jerantut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya penumpang hadapan, Abd Aziz Ahmad, 66, menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, pasangan suami isteri yang merupakan pesara, menaiki kereta Proton Saga BML berwarna biru dari arah Balok Makmur menghala ke Seberang Balok.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam sungai.

Iklan

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya dibawa ke HTAA untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, punca kemalangan akibat gagal mengawal kenderaan ketika melalui jalan satu lorong dua hala, garisan pembahagi jalan tiada dan jalan sempit.

Iklan

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.