Odegaard perlukan beberapa minggu lagi

Iklan
Arteta percaya Odegaard memerlukan beberapa minggu lagi kembali bersama Arsenal. Foto Agensi

KAPTEN Arsenal, Martin Odegaard memerlukan beberapa minggu lagi untuk kembali beraksi bersama The Gunners selepas terlepas aksi Pusingan Ketiga Piala Liga menentang kelab Divisyen Satu, Bolton Wanderers di Stadium Emirates pada Khamis ini akibat kecederaan buku lali, kata pengendali, Mikel Arteta.

"Saya percaya dia akan mengambil masa beberapa minggu, tetapi berapa lama sebenarnya saya tidak boleh beritahu.

Iklan
Iklan

"Kami mungkin mendapat kejutan tetapi saya percaya sekali lagi dia tidak mungkin akan kembali sebelum rehat antarabangsa,” kata pengendali kelahiran San Sebastian, Sepanyol berusia 42 tahun itu kepada pemberita.

Jendela antarabangsa seterusnya bermula dari 7 hingga 16 Oktober menyaksikan Arsenal menerima kunjungan Leicester City (28 September) dan Southampton (8 Oktober) dalam Liga Perdana Inggeris, yang diselangi aksi Liga Juara-Juara berdepan gergasi Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (2 Oktober).

Iklan

Kelab yang terkenal dengan moto Kemenangan Melalui Harmoni kembali semula ke saingan domestik selepas membawa pulang satu mata dari Stadium Etihad selepas diikat penyandang juara Manchester City, 2-2, biarpun mendahului 2-1 sebelum beraksi 10 pemain sepanjang separuh masa kedua.

Beberapa pemain Arsenal memerlukan rawatan di atas padang pada separuh masa kedua dengan beberapa pengkritik menuduh kelab utara London berkenaan melengahkan perlawanan.

Iklan

"Saya sentiasa lebih suka bercakap berdasarkan fakta daripada kata-kata yang mengandaikan sesuatu.

"Mari kita lihat siapa yang ada esok dan kemudian kita boleh bercakap tentang sesi gelap perlawanan sebelum ini. Malangnya, akan ada beberapa pemain yang tidak tersedia. Esok anda akan mengetahuinya,” kata Arteta.

Sementara itu, Arsenal akan memanfaatkan peluang berdepan The Trotters kendalian Ian Evatt juga bekas pengendali Borrow dan Chesterfield menampilkan beberapa pemain Arsenal yang kurang mendapat minit perlawanan bermain, dengan pemain baharu Raheem Sterling dijangka berada dalam kesebelasan utama.

"Dia sudah mempunyai beberapa minit. Dia bermain dalam beberapa perlawanan dan dia akan mendapat peluang pada Khamis bersama yang lain.

"Dia ‘lapar’ untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan dan menghadirkan impak kepada pasukan dengan cara yang dia mampu sumbangkan,” kata Arteta mengenai bekas pemain sayap Manchester City itu yang menyertai Chelsea bulan lalu.

PIALA LIGA INGGERIS

Pusingan Ketiga

26 September (Khamis)

Arsenal lwn Bolton, 2.45 pagi

Liverpool lwn West Ham United, 3 pagi

2 Oktober (Rabu)

Newcastle United lwn AFC Wimbledon, 2.45 pagi