SEJAK kecil, kita sememangnya diajar untuk diam dan tidak bercakap-cakap atau bersembang, selain menjaga tingkah ketika bertandang di dalam masjid mahupun surau.
Masakan tidak, rumah ALLAH itu merupakan tempat untuk beribadah, selain melakukan aktiviti kerohanian dan sosial.
Sebagai insan biasa, adakalanya terlepas laku juga. Bibir begitu ringan berbual walaupun suara dilontarkan bernada perlahan.
Dikatakan terdapat hadis yang memerihalkan bahawa ‘Sesiapa yang bercakap di dalam masjid, maka ia akan memakan pahalanya sepertimana api memakan kayu bakar’.
Benarkah wujudnya hadis berkenaan dalam nas?
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, terdapat sebuah hadis yang memerihalkan tentang perkara itu.
"Menurut Hasan Abu Al-Asybal Az-Zuhairi sebagaimana dipetik dalam kitab Syarh Sahih Muslim, ini kerana percakapan yang diharuskan di luar masjid adalah dibolehkan juga di dalam masjid.
"Beliau menjelaskan, perbualan atau percakapan yang harus tidak akan memakan kebaikan (pahala), sebaliknya pertuturan buruk lagi dilarang yang akan ‘menelan’ pahala tidak kiralah sama ada ia diucapkan di dalam mahupun di luar rumah ALLAH itu,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #7007: Hadis bercakap-cakap di dalam masjid memakan pahalanya, yang disiarkan di laman web Maktabah Albakri baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Dr Zulkifli menjelaskan, Syeikh ‘Atiyyah Saqr ketika mengulas status hadis tersebut dalam fatwanya turut menyatakan bahawa ‘ia merupakan satu pendustaan yang tiada asalnya’.
Begitu juga dalam kitab-kitab lain termasuklah Al-Maudhu’at (hadis-hadis palsu) yang menyatakan ‘hadis’ itu tiada asalnya dan ada mengatakannya sebagai palsu.
"Demikian menurut pandangan Imam An-Nawawi berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim yang menyebut bahawa Rasulullah SAW tidak bangun dari tempat solatnya selepas solat Subuh sehingga terbit matahari.
"Apabila matahari terbit, Baginda bangun dan mereka (para sahabat) berbicara dan mengingati perkara zaman jahiliah, lalu mereka ketawa dan Baginda tersenyum,” katanya.
Dalam satu hadis sahih lain, Imam Ahmad meriwayatkan daripada Jabir RA bahawa:"Aku menyaksikan Nabi Muhammad SAW lebih dari 100 kali di masjid bersama sahabat-sahabatnya berbincang mengenai syair dan perkara-perkara dari zaman jahiliah. Kadang-kadang Baginda tersenyum bersama mereka.”
Berdasarkan perbahasan itu, Dr Zulkifli menjelaskan, perbualan biasa berkenaan perkara-perkara diharuskan walaupun berkait urusan dunia disertai dengan ketawa yang sedikit, selagi tidak mengganggu orang sedang solat adalah dibenarkan dan dibolehkan.
"Ingatlah, percakapan yang mengandungi unsur buruk dan kebatilan waima diucapkan di dalam masjid mahupun di luar, ia tetap haram dan tidak dibenarkan sama sekali,” tegas beliau.