KUALA LUMPUR - Wakil penjaja dan pemilik premis sekitar Jalan Masjid India diberi taklimat berkenaan status kerja pembaikan dan pemulihan tanah jerlus di kawasan itu.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, pertemuan diadakan pada Selasa itu turut disertai pemegang taruh lain dan dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Mohamad Hamim.
Menurutnya, menerusi taklimat itu, DBKL memberikan penerangan gerak kerja dilakukan di lokasi insiden seorang mangsa warga India terjatuh ke lubang benam dalam kejadian 23 Ogos lalu.
"DBKL dan semua agensi berkaitan terus komited untuk menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan baik pulih sekiranya perlu bagi memastikan kepentingan semua pihak diutamakan dan terus dipelihara," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sebelum ini memaklumkan proses baik pulih kawasan tanah jerlus itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan.
Menurutnya, kerja baik pulih itu membabitkan siasatan dan kajian integriti paip air bawah tanah oleh Indah Water Konsortium (IWK).
DBKL juga akan berkolaborasi dengan Air Selangor untuk meneliti paip air bawah tanah di kawasan tersebut.