SHAH ALAM - Seramai 24 individu termasuk pimpinan utama GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan isteri disambung reman selama empat hari.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali dan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas permohonan berkenaan dibuat pihak polis.
Selain itu, 22 suspek lain merupakan antara barisan kepimpinan pengurusan syarikat turut sama dikenakan perintah reman berkenaan.
Kesemua 24 individu terbabit dianggarkan berusia 25 hingga 65 tahun itu sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 19 September lalu.
Kesemua mereka diwakili Peguam, Rosli Kamaruddin.
Beberapa anggota polis lengkap bersenjata dari pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dilihat mengawal kesemua suspek berkenaan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 19 individu ditahan di empat unit kondominium di Jalan Imbi, Bukit Bintang dekat sini kira-kira jam 5.40 pagi, 19 September lalu.
Lima individu lagi termasuk seorang anak kepada pimpinan utama GISB Holdings itu ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah kira-kira jam 6 petang, 18 September lalu.
Siasatan berkaitan dijalankan di bawah Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan penahanan kesemua suspek dalam serbuan di sekitar Lembah Klang dan tangkapan di Bukit Kayu Hitam, Kedah.