KETIKA mula-mula meter pintar dipasang di sebuah taman perumahan di Shah Alam pada 2019, seorang wanita lantang mengkritik penggunaannya dalam grup WhatApp kejiranannya.
"Bacaan tidak tepat!”
"Melambung-lambung bil baru!”
Malah macam-macam lagi kenyataan tak puas hati yang disuarakan. Hendak kuatkan hujah, dia selitkan pula kenyataan kononnya:
"Kata kawannya di seksyen sebelah!”
Tidak ramai tetangga di dalam grup WhatsApp itu yang mengulas. Mungkin masing-masing pun baru pertama kali terima bil meter pintar.
"Macam tinggi daripada biasa," jawab seorang jiran.
Mana tidaknya, setiap bilik di kediamannya ada pendingin hawa. Tambah-tambah lagi musim panas seperti sekarang. Setiap hari pendingin hawa itu dibuka.
Begitu hiruk-pikuknya ketika itu, sehingga berlaku perdebatan antara wanita itu dengan jiran yang memahami penggunaan meter pintar.
Antara ayat yang diingat ketika itu ialah,"You pay what you use." (awak bayar apa awak guna).
Sebenarnya, polisi tersebut kekal relevan sehingga hari ini. Pakai pendingin hawa di setiap bilik yang rumahnya ada empat bilik, tidak mungkin bil di bawah RM200 sebulan.
Kalau menggunakan kipas angin, mungkin ya.
Persoalan besar sekarang, apa faedah meter pintar elektrik kepada kita sebagai pengguna?
Penduduk di Seksyen 7 Shah Alam, Muhammad Amzar Jailani berkata, kelebihan terbesar meter pintar ialah tidak lagi memerlukan bacaan meter manual kerana kedua-dua Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pengguna akan dapat mendapatkan bacaan tepat dari jauh dalam 'masa nyata' (real time).
"Ini bukan sahaja akan menghapuskan bacaan meter 'anggaran', tetapi ia juga akan menjimatkan masa dan tenaga kerja, serta mengurangkan kemungkinan kesilapan manusia semasa mengambil bacaan,” katanya.
Beliau menambah bahawa terdapat juga kemungkinan ia akan mengurangkan pelepasan karbon kerana tidak ada keperluan untuk TNB menghantar pekerja mereka keluar dengan kenderaan untuk memeriksa meter mengikut cara lama.
Seorang lagi penduduk, Noor Hisham Ali Shaharom berkata, daalam diam tak diam sudah lima tahun rumahnya menggunakan meter pintar yang dipasang pada 2019 oleh TNB.
Beliau bersetuju aplikasi myTNB banyak membantunya menjaga penggunaan elektrik harian di rumahnya, terutama menutup sepenuhnya televisyen bila tidak digunakan serta mesin penapis air.
"Aplikasi itu boleh memberi amaran kepada pengguna jika mereka menggunakan lebih banyak elektrik pada minggu pertama bulan Mac berbanding minggu pertama bulan Februari, sebagai sistem amaran awal untuk menarik perhatian pengguna terhadap perkara yang makan banyak tenaga elektrik,” kata beliau.
Perluasan meter pintar ke seluruh negara
Pada 2023, TNB sudah memasang 873,740 lagi meter pintar, melepasi sasaran syarikat utiliti elektrik negara itu sebanyak 600,000 unit.
Pencapaian ini menjadikan jumlah keseluruhan lebih 3.5 juta meter pintar merentasi Lembah Klang, Melaka, Kedah, Johor dan Pulau Pinang.
Secara teknikalnya, pemasangan meter pintar di semua rumah adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan di seluruh negara, yang disokong oleh Suruhanjaya Tenaga dan kini sedang dilancarkan oleh TNB.
Meter pintar membentuk bahagian penting dalam penciptaan grid pintar, yang menggunakan teknologi digital untuk mengurus dan membekalkan elektrik di mana ia diperlukan.
Rangkaian tenaga TNB akan berjalan dengan cara yang benar-benar baharu, membantu TNB meningkatkan pengalaman pelanggan dan perkhidmatan sambil membolehkan syarikat utiliti negara itu memperoleh kawalan yang lebih baik ke atas grid dan meningkatkan penggunaan tenaga yang cekap.
Meter pintar ialah cara baharu untuk rakyat Malaysia mendapatkan bacaan meter mereka untuk pengalaman tenaga yang lebih baik.
Meter pintar ialah peranti yang merekodkan penggunaan elektrik anda dan menyampaikan maklumat ini secara automatik kepada TNB melalui gelombang frekuensi radio untuk pemantauan dan pengebilan.
Alat itu membaca penggunaan tenaga harian anda dan menyediakan bil yang lebih tepat untuk masa depan yang lebih bijak, lebih hijau dan lebih cekap tenaga.
Meter pintar bukanlah perkara baharu kerana ia telah dilaksanakan di negara dunia pertama seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan China.
Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang melaksanakan teknologi meter pintar ini di seluruh negara dan dianggarkan 8.5 juta isi rumah akan berpindah kepada meter pintar menjelang 2027.
Menyampaikan khidmat untuk pelanggan dan matlamat negara
Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) TNB mencapai rekod tertinggi 88 peratus, dilengkapi dengan Skor Indeks Pengalaman Pelanggan (CEI) lebih 90 peratus merentasi semua platform, sekali gus mencerminkan dedikasi TNB untuk menyediakan perkhidmatan dan pengalaman pelanggan yang luar biasa.
Ini sejajar dengan langkah TNB yang sedang bersiap untuk Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) 2025-2027 dengan belanja modal (CAPEX) yang ketara bagi menyokong peralihan tenaga Malaysia dan unjuran pertumbuhan permintaan elektrik.
TNB bersedia untuk melaksanakan program menarik dalam NETR, memastikan Malaysia mencapai matlamat peralihan tenaganya.
Dengan TNB mengetuai tanggungjawab itu, syarikat utiliti nasional ini yakin dapat memupuk masa depan yang mampan, berdaya tahan dan sejahtera untuk semua.
TNB memimpin tiga inisiatif utama teknologi bersih dan TBB berskala besar dalam NETR: Taman Solar Berskala Besar (LSSP), Solar Terapung Hidro Hibrid (HHFS) dan projek pembakaran bersama hidrogen dan amonia.
Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk menjana lebih 3,000MW kapasiti TBB menjelang 2040, dengan anggaran 2,500MW daripada teknologi HHFS dan tambahan 500MW daripada lima LSSP.
TNB merancang untuk memasang HHFS sehingga kapasiti 230MW di loji hidro Temenggor dan Chenderoh menjelang 2025, dan syarikat sedang meneroka projek solar di atas tanah dengan kapasiti 100MW di Perak.
TNB komited untuk memacu pertumbuhan dan mencapai sasaran sifar bersih, berpandukan Pelan Peralihan Tenaga.
Dengan memberi tumpuan kepada tonggak tumpuan strategik TNB - Sumber Tenaga, Vektor Tenaga dan Penggunaan Tenaga, TNB menyasarkan untuk menyampaikan penjanaan tenaga bersih, membangunkan rangkaian peralihan tenaga serta mempromosikan solusi tenaga dinamik.
Pada 2023, sistem minit penghantaran TNB dikekalkan pada 0.48 dan loji janakuasa merekodkan faktor ketersediaan kukuh 83.3 peratus sepanjang 2023, mempamerkan daya tahan dan kecekapan TNB.
Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) mencapai rekod tertinggi 88 peratus, dilengkapi dengan Skor Indeks Pengalaman Pelanggan (CEI) lebih 90 peratus merentasi semua platform, sekali gus mencerminkan dedikasi TNB untuk menyediakan perkhidmatan dan pengalaman pelanggan yang luar biasa.
Dari segi pembinaan negara bangsa, TNB akan terus menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi Malaysia sambil memberikan pulangan yang adil untuk para pemegang saham.
Pelaburan TNB membolehkan Malaysia membuka manfaat besar untuk ekonomi hijau negara dan ekonomi Madani.