Lelaki rentung dibunuh, dibakar adik kandung

Iklan
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut manakala tujuh lagi ahli keluarganya terselamat dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Muhibbah 2 dekat Sitiawan di sini awal pagi pada Rabu.

MANJUNG - [DIKEMAS KINI] Lelaki yang ditemui rentung di sebuah rumah di Taman Muhibbah 2, Sitiawan di sini pada Rabu disyaki dibunuh adiknya sendiri sebelum kediaman itu dibakar.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan mendapati, ada saksi melihat kehadiran lelaki berusia 39 tahun itu masuk ke dalam rumah dan mendengar bunyi hentaman di ruang tamu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, saksi juga melihat lelaki sama keluar dari rumah dan kembali semula dengan membawa dua bekas mengandungi cecair disyaki petrol.

"Saksi kemudiannya menyedari bahawa berlaku kebakaran di rumah tersebut.

Iklan

"Bertindak atas maklumat itu, polis menahan suspek yang merupakan adik mangsa berhampiran tempat kejadian pada hari sama," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, polis menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada jam 2.39 pagi.

Iklan

Katanya, kebakaran berlaku melibatkan ruang tamu rumah dan berjaya dikawal anggota bomba.

"Semasa pemeriksaan dilakukan, mangsa ditemui tertiarap dalam keadaan rentung.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat," katanya.

Hasbullah berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Oktober depan untuk siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 atau menerusi Bilik Gerakan IPD Manjung 05-6886222.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dalam kebakaran itu, mangsa dikenali Muhammad Khairul Ridzuan Muhamad Taib, 46, ditemui dalam keadaan rentung di bahagian ruang tamu rumah, manakala tujuh ahli keluarga lain terselamat.

Sementara itu, penduduk di taman perumahan berkenaan memaklumkan, suspek pernah beberapa kali berkelakuan pelik termasuk mengayuh basikal dalam keadaan berbogel.

Jiran, SP Shivaraj, 48, berkata, penduduk kawasan itu maklum akan keadaan suspek kerana pernah dihantar menerima rawatan di hospital sebelum dibawa kembali tinggal bersama keluarganya di sini.

"Kejadian ini agak mengejutkan kami. Sebelum ini sudah ada kalangan penduduk nasihatkan mereka agar menghantarnya semula ke hospital," katanya ketika ditemui pemberita.

Katanya, hanya menyedari kejadian itu apabila dikejutkan anak perempuannya sekitar jam 2.20 pagi selepas terhidu bau asap yang kuat.

"Nampak api dari rumah mangsa membuatkan saya dan anak cepat-cepat keluar. Waktu itu, saya nampak semua ahli keluarga mangsa telah berada di luar rumah," katanya.