Saman SRC: Najib nafi arah SRC menerusi Nik Faisal

Iklan
Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International (SRC), Nik Faisal Arif Kamil bukanlah penghubung antara syarikat itu dan dirinya, seperti dakwaan bekas pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Suboh Md Yassin.

Najib, 71, berkata, tidak ada sebab untuk beliau mengarahkan lembaga pengarah (BOD) SRC menerusi Nik Faisal, kerana SRC hanyalah satu daripada syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), yang menguruskan projek berkaitan kepentingan negara pada masa itu.

Iklan
Iklan

"Saya tidak berada dalam kedudukan untuk micro-manage mana-mana syarikat MOF Inc. Melihat perkara itu sekarang, nampaknya Nik Faisal mungkin mempermainkan kedua-dua belah pihak. Bagi saya, beliau akan menyatakan bahawa perkara itu telah diputuskan BOD, dan untuk BOD, dia membayangkan bahawa saya mengarahkan perkara itu.

"Apa yang menghairankan saya ialah kenapa pengarah SRC yang lain termasuk Tan Sri Ismee, tidak berusaha untuk mengesahkannya dengan saya secara terus dan hanya menerima apa yang Nik Faisal katakan, terutamanya berkaitan dana syarikat,” kata bekas perdana menteri itu, ketika membacakan keterangan saksinya semasa pemeriksaan utama peguamnya Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Iklan

Najib memberi keterangan sebagai defendan dalam saman sivil AS$1.18 bilion SRC International terhadapnya dan Nik Faisal yang masih bebas.

Najib juga menyatakan bahawa ketika beliau menjadi Penasihat Emeritus, lembaga SRC jarang mendapatkan nasihatnya kecuali dua kali, apabila seorang lagi bekas pengarah SRC Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin merujuk kepadanya meminta pandangannya mengenai National Strategic Coal Initiative dan Projek Saluran Paip Gas Trans Sabah.

Iklan

"Saya telah minitkan kelulusan dan persetujuan saya untuk projek-projek ini melalui surat daripada SRC. Saya faham bahawa nasihat saya diminta ia perkara yang mempunyai kepentingan strategik kepada Malaysia.

"Sekali lagi ia menghairankan saya, bagaimana BOD yang terdiri daripada mereka yang berkelayakan dan berpengalaman, boleh menerima perkataan Nik Faisal, hook, line, and sinker. Saya benar-benar ragu sama ada ini benar-benar berlaku, tetapi saya yakin minit mesyuarat BOD dan lain-lain dokumen kontemporari akan mencerminkan peristiwa sebenar tetapi saya tidak pernah melihatnya,” kata Najib.

Sebagai Menteri Kewangan pada masa itu, Najib ialah pemegang saham tunggal SRC International melalui MOF Inc.

Pada Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharu memfailkan saman dengan mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu termasuk Ismee, dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

Syarikat itu memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian dialami syarikat itu akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau, serta menuntut beliau membayar pampasan RM42 juta bagi kerugian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin. - Bernama