Isyarat perlu dari Mahkota bagi nilai pencapaian kerajaan Johor

Iklan
Noor Azleen Ambros

KLUANG - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota disifatkan sebagai kajian separuh penggal kepada pencapaian kerajaan Johor yang ditadbir Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, PRK kali ini diadakan selepas lebih dua tahun BN mentadbir negeri.

Iklan
Iklan

Justeru beliau berkata, pengundi di DUN Mahkota perlu memanfaatkan peluang yang ada dengan menunaikan tanggungjawab mengundi seterusnya menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan negeri.

"PRK ini boleh dianggap sebagai kajian separuh penggal, pengundi boleh hantar isyarat kepada kerajaan negeri.

Iklan

"Jika sokongan jelas diberikan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz sudah tentu lebih banyak rencana pembangunan dirangka dan dilaksanakan di negeri serta Kluang khususnya DUN Mahkota," katanya.

Beliau ditemui di Command Centre BN PRK DUN Mahkota di Taman Sri Kluang di sini, pada Rabu.

Iklan

Dalam pada itu, Noor Azleen mengingatkan pengundi DUN Mahkota supaya tidak terbelenggu dengan isu membabitkan pimpinan di peringkat nasional.

Katanya, antara isu tersebut ialah sentimen babitkan konflik di antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkait isu pensijilan halal.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah dengan Perikatan Nasional (PN) ,Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

DUN Mahkota yang terletak di dalam Parlimen Kluang memiliki keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar, dengan 20 pusat mengundi biasa akan dibuka pada Sabtu ini.